Selangor tak boleh goyang sindiran JDT

Pemain Selangor perlu membuktikan mereka juga mampu membuktikan kemampuan di ACL 2.
Pemain Selangor perlu membuktikan mereka juga mampu membuktikan kemampuan di ACL 2.
A
A
A

SELANGOR FC tidak boleh goyang dengan sebarang sindiran dan perlu membuktikan mereka sememangnya layak untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Ia selepas Selangor menjadi mangsa sindiran Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pemilik kelab tersebut, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan skuad Lembah Klang itu layak ke ACL atas sumbangan mata daripada Harimau Selatan.

Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Afizal Abu Othman berkata, skuad Gergasi Merah tidak boleh mengambil kritikan tersebut secara negatif manakala provokasi yang dilontarkan kepada mereka itu sebagai salah satu cabaran untuk berjaya.

Menurutnya, provokasi yang dilakukan JDT itu juga sedikit sebanyak menghangatkan musim baharu liga yang akan bermula selain apa yang diperkatakan terutama oleh pemilik pasukan, Tunku Ismail adalah berdasarkan fakta yang sudah terbukti dicapai oleh Harimau Selatan.

"Ia menjadi cabaran buat Selangor dan mereka kena tunjukkan mereka juga hebat berdepan pasukan yang kuat dalam saingan ACL 2.

"Saya juga melihat provokasi yang dilakukan ini sebagai satu tanda perseteruan yang bagus dan Selangor kena menang satu piala musim depan. Barulah perseteruan ini akan merancakkan lagi bola sepak kita.

"Sekarang ini, kalau ikutkan JDT nombor satu dan Selangor nombor dua. Kita ambil contoh pasukan seperti Barcelona dan Real Madrid (El Clasico), apabila kedua-dua pasukan bertemu akan ada banyak provokasi yang akan hangatkan perlawanan itu. Ini yang kita mahu lihat," katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, Tunku Ismail beberapa kali menyindir Selangor dan terbaharu menyifatkan kejayaan gergasi merah mara ke ACL2 atas hasil bantuan mata AFC MA Ranking yang diraih skuad Harimau Selatan itu.

Artikel Berkaitan:

Malah, Tunku Ismail juga menegaskan JDT tidak pernah kalah dalam lapan tahun terakhir kepada Selangor.

Video pengenalan penyerang baharu mereka, Romel Morales juga seakan-akan menyindir Selangor apabila visual memaparkan cili benggala merah dan kuning yang dimasak sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Afizal turut percaya Selangor sedang berusaha meningkatkan kemampuan pasukan walaupun dilihat berdiam diri dengan tidak membalas sebarang provokasi daripada JDT.

"Selangor nampak tidak membalas provokasi tersebut. Namun, walaupun mereka diam, tetapi nampak mereka sedang menyusun sesuatu dan dapat difahami bahawa mereka menerima cabaran JDT itu," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28