'Bukan marah, ia perbualan biasa' - Najib

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau dimarahi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebaliknya disifatkan sebagai perbualan biasa suami isteri.

Najib berkata, ia adalah perbualan antara isterinya dengan beranggapan ia sebagai sesuatu yang peribadi.

“Dimarahi? Tak ada dimarahi, perbualan (biasa) dan ia adalah peribadi.

“Anda pun bersembang dengan isterikan. Apa salahnya?” katanya pada sidang akhbar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Najib berkata, semua pihak berhak untuk berbincang apa sahaja topik dengan pasangan masing-masing selagi ia tidak dibocorkan kepada orang ramai.

Katanya, perbualan mengenai aktiviti harian bersama isteri adalah perkara normal.

Hari ini, perbualan audio dikatakan suara Najib dan Rosmah mendapat perhatian ramai selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan rakaman perbualan telefon tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, rakaman berdurasi 45 minit itu diterima pihaknya beberapa hari lalu melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah berhubung skandal mega SRC International, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta beberapa kes lain.

Artikel Berkaitan:

Selain Najib, rakaman audio turut mengandungi percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad, Datin Seri Rosmah Mansor dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan serta beberapa individu berkepentingan dalam dan luar negara.