Rafizi bidas Annuar Musa dakwa kerajaan gagal kawal ekonomi

Tangkap layar hantaran Rafizi di X pada Sabtu. Gambar kanan: Rafizi
Tangkap layar hantaran Rafizi di X pada Sabtu. Gambar kanan: Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membidas kenyataan bekas Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa kerajaan gagal mengawal keadaan ekonomi negara sehingga menyusahkan rakyat.

Rafizi berkata, keutamaan dalam 2023 adalah menstabilkan harga barang dengan menurunkan inflasi kerana ia membolehkannya tidak terus melonjak naik sepertimana dialami kerajaan sebelum ini.

“Kami tak adalah umum sampai jihad lawan inflasi, tapi inflasi turun kepada kadar yang terendah.

“Kerajaan tumpu kepada perkara yang menjadi punca kenaikan kos sara hidup seperti gaji naik perlahan, maka (dilakukan) pelarasan gaji kakitangan awam dan dasar gaji progresif.

“Tambah kapasiti pengeluaran makanan dengan peruntukan besar untuk memodenkan pertanian selain baiki rantaian bekalan, maka kita secara berterusan lihat rantaian bekalan padi, telur dan makanan asas, menggalakkan penjualan berpatutan melalui Jualan Rahmah,” katanya menerusi hantaran di X pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Annuar pada Khamis yang mengatakan harga barang, tarif elektrik dan cukai sekarang semakin mahal ketika menyampaikan ucapan sempena Ceramah Isu Umat dan Politik Semasa di Dewan Besar Markas Pas Kawasan Bagan Datuk, Perak.

Sementara itu, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan memaklumkan, pihaknya turut menitikberatkan penyasaran subsidi kepada keluarga memerlukan bagi mengurangkan bebanan tanggungan dengan pemberian sumbangan tunai.

“Sementara harga barang adalah fungsi penawaran dan permintaan, fokus kerajaan tingkat pendapatan rakyat, bukan semata-mata melihat kepada kos barang.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH akan lebih membuahkan hasil daripada Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi,” ujar beliau lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28