Solat sunat tampung kekurangan sembahyang fardu

SOLAT merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada hari akhirat kelak. -Foto: 123rf
SOLAT merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada hari akhirat kelak. -Foto: 123rf
A
A
A

MELIHAT kelebihan dan ganjaran solat sunat rawatib sebagaimana dinyatakan dalam nas, menjadi satu kerugian andai kita meninggalkannya begitu sahaja.

Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Ummu Habibah RA: "Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana ALLAH SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan ALLAH SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." (Hadis Riwayat Muslim)

Solat sunat rawatib bermaksud solat-solat sunat yang didirikan sebelum ataupun sesudah solat fardu lima waktu.

Meninggalkan solat sunat rawatib menjadi kerugian kerana Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Che Yaacob menjelaskan, ibadah sunat berkenaan boleh dikerjakan sepanjang masa dan di segenap tempat dengan ganjaran pahala bukan calang-calang.

DR AHMAD
DR AHMAD

Benar, ada yang beralasan bahawa kekangan tugas dan tanggungjawab menjadi faktor kesukaran untuk seseorang mengerjakan solat sunat tersebut, ungkapnya.

“Ketahuilah bahawa kita sebenarnya diberikan kelonggaran untuk mengerjakan solat sunat rawatib di rumah atau di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

“Bahkan, kita boleh melakukan solat sunat rawatib secara qada dan tidak dilakukan serentak selepas atau sebelum solat fardu. Amat rugi andai kita meninggalkannya.

“Seharusnya, kita merebut peluang yang ada dan tidak membiarkan keluasan waktu dan tempat diberikan oleh hukum syarak,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Biarpun ia bukanlah suatu kefarduan, tetapi ada baiknya andai pihak pengurusan mahupun jawatankuasa masjid atau surau turut memainkan peranan memberikan galakan kepada para jemaah untuk mengerjakannya.

Dalam hal itu, Ahmad menjelaskan, sebaiknya pihak berkenaan menetapkan dasar untuk memberikan ruang kepada jemaah agar mereka dapat menunaikan solat tersebut.

“Kadangkala ada jemaah yang masuk ke masjid, tetapi tidak pasti sama ada mereka mempunyai masa mencukupi atau tidak untuk mengerjakan solat sunat rawatib.

“Pada saya, ia boleh dibuat dengan memaparkan jam waktu yang menunjukkan baki yang ada sebelum berjemaah menunaikan solat fardu bagi memudahkan mereka. Imam dan bilal bertugas hendaklah akur dengan masa dipaparkan bagi memberi ruang kepada jemaah untuk mengerjakan solat sunat rawatib,” ungkapnya.

UMAT Islam boleh melakukan solat sunat rawatib secara qada dan tidak dilakukan serentak selepas atau sebelum solat fardu. Amat rugi andai kita meninggalkannya.-Gambar hiasan/ Foto: 123rf
UMAT Islam boleh melakukan solat sunat rawatib secara qada dan tidak dilakukan serentak selepas atau sebelum solat fardu. Amat rugi andai kita meninggalkannya.-Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Pada masa sama, beliau turut menyarankan agar ahli jawatankuasa masjid turut menyediakan poster tentang kelebihan dan hukum menunaikan solat sunat rawatib, kemudian dipaparkan di rumah ALLAH bagi memberikan kesedaran kepada jemaah.

Solat amalan pertama dihisab

Sesungguhnya, tiada perkara sia-sia dijadikan oleh ALLAH SWT. Ada sebab mengapa kita perlu melaksanakan solat sunat.

Jelas Ahmad, solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada hari akhirat kelak.

Andai sembahyang tadi disempurnakan dengan sebaiknya, barulah amalan-amalan lain akan diterima oleh-NYA, terangnya.

“Apakah mungkin kita dapat memastikan kesempurnaan solat dikerjakan terutama dari aspek khusyuk? Pastinya sukar.

“Lebih membimbangkan apabila kita kadangkala terlupa bilangan rakaat dan adakalanya fikiran melayang saat sedang menghadap ALLAH SWT.

LAZIMKAN diri menunaikan solat sunat rawatib dan usah lepaskan peluang untuk melaksanakannya kerana ia memberikan banyak kelebihan dan ganjaran kepada pelakunya. -Foto: 123rf
LAZIMKAN diri menunaikan solat sunat rawatib dan usah lepaskan peluang untuk melaksanakannya kerana ia memberikan banyak kelebihan dan ganjaran kepada pelakunya. -Foto: 123rf

“Namun begitu, ALLAH SWT MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG, DIA tetap memberikan peluang untuk kita menyempurnakan solat dan melengkapkan kekurangan yang ada dengan melaksanakan sembahyang sunat,” ujarnya.

Ini sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula dihisab pada hari kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Sekiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, ALLAH SWT berfirman: “Periksalah, adakah hamba-KU itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?” Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

ANEKDOT

Hukum tunai solat sunat rawatib jika belum qada sembahyang fardu

JIKA solat disempurnakan dengan sebaiknya, barulah amalan-amalan lain akan diterima oleh ALLAH SWT. -Foto: 123rf
JIKA solat disempurnakan dengan sebaiknya, barulah amalan-amalan lain akan diterima oleh ALLAH SWT. -Foto: 123rf

  • Para ulama sepakat, siapa meninggalkan solat dengan sengaja, wajib qadanya.
  • Imam An-Nawawi berkata, andai seseorang meninggalkan solat kerana uzur syarak seperti tertidur atau terlupa, maka sunat dia melakukan qada dengan segera. Sebaliknya, jika ditinggalkan tanpa keuzuran syarak, maka wajib segera mengqadanya.
  • Imam Ibn Hajar Al-Haitami menjelaskan, sesiapa yang mempunyai solat fardu yang ditinggalkan kerana keuzuran, dibolehkan solat sunat bersamanya sama ada solat sunat rawatib atau selainnya.
  • Jika solat ditinggalkannya tanpa keuzuran, tidak boleh melakukan solat sunat sebelum menggantikan solat fardu. Wajib bagi dirinya segera menunaikannya.
  • Oleh itu, menurut Syeikh Zainuddin Al-Malibari, haram melakukan solat sunat bagi mereka ada solat fardu yang ditinggalkan, tetapi solat sunat yang dikerjakannya adalah sah. Dia perlu mendahulukan yang wajib berbanding sunat.
  • Pun begitu, para ulama menjelaskan, solat sunat ada dua iaitu bersebab (zawat al-asbab) dan tidak bersebab.
  • Solat sunat bersebab seperti sunat rawatib, tahiyyatul masjid, solat gerhana, istisqa dan sunat dua hari raya.
  • Solat sunat yang tidak bersebab seperti solat sunat mutlak, wajib mendahulukan solat qada.
  • Namun, andai tiada masa, dahulukan solat fardu.
  • Kesimpulannya, mestilah mendahulukan solat fardu, kemudian solat sunat bersebab dan barulah solat sunat mutlak.

***Sumber: Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Che Yaacob

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!