KKM laksana projek rintis panjangkan waktu operasi klinik

KKM akan melaksanakan projek rintis melalui pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan di klinik berdekatan hospital yang terpilih mulai 25 Mac 2023 hingga 31 Disember 2023. Foto FB KKM.
KKM akan melaksanakan projek rintis melalui pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan di klinik berdekatan hospital yang terpilih mulai 25 Mac 2023 hingga 31 Disember 2023. Foto FB KKM.
A
A
A

SHAH ALAM- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan projek rintis melalui pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan di klinik berdekatan hospital yang terpilih mulai 25 Mac 2023 hingga 31 Disember 2023.

Menerusi satu kenyataan, KKM menjelaskan perkara itu dilakukan setelah mengambil kira isu kesesakan di hospital termasuklah di negeri Selangor, di mana kerajaan menerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) bersetuju untuk mereka melaksanakan projek rintis berkenaan.

"Projek rintis melalui pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan yang berdekatan dengan hospital terlibat seperti berikut; Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang (yang berdekatan dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah); Klinik Kesihatan Taman Ehsan, Gombak (yang berdekatan dengan Hospital Selayang); dan Klinik Kesihatan Ampang, Hulu Langat (yang berdekatan dengan Hospital Ampang)," jelas kenyataan itu pada Selasa.

Terdahulu, bagi penyampaian perkhidmatan di klinik kesihatan, waktu operasi adalah mengikut waktu bekerja pejabat.

Manakala bagi klinik yang terpilih untuk melaksanakan perkhidmatan secara extended hours (EH), waktu operasi dilanjutkan selepas waktu bekerja pejabat hingga 9.30 malam serta pada hari Sabtu mulai 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Tambahnya, dalam tempoh ini, pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad telah diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis bagi membolehkan elaun lokum dibayar sekiranya mereka diarah bertugas secara lokum.

Selain itu ujarnya, pegawai farmasi dan juru X-ray dalam kumpulan pengurusan dan profesional juga diberi pemanjangan elaun lokum pada kadar yang berbeza.

Jelasnya lagi, hasil pelaksanaan projek rintis telah diteliti dan permohonan untuk meneruskan pembayaran elaun lokum sedang dalam pertimbangan agensi pusat.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, pegawai perubatan yang diarah bertugas pada hari Sabtu dan Hari Kelepasan Am masih layak menuntut elaun lokum, manakala pada hari Ahad yang melibatkan waktu bekerja mulai jam 9 pagi hingga 1 tengah hari, pegawai perubatan boleh menuntut cuti gantian tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan," ujarnya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28