Ringgit mengukuh sedikit berbanding dolar AS, mata wang utama

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT mengakhiri urus niaga Rabu dengan mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang meneruskan peningkatannya ketika pelabur memberi tumpuan terhadap pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka AS (FOMC), kata ahli ekonomi.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7920/7965 berbanding dolar AS daripada 4.7975/8000, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mendapat sokongan yang baik berbanding dolar AS pada sekitar RM4.7963, pada Rabu.

"Walaupun ringgit kebanyakannya lebih stabil hari ini, pasaran pertukaran mata wang asing sebaliknya kekal berhati-hati menjelang pengumuman minit mesyuarat FOMC itu esok.

"Memandangkan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan mengekalkan kadar faedah di masa terdekat, dolar AS sebaliknya akan menjadi mata wang pilihan,” katanya kepada Bernama.

Pada Selasa, ringgit untuk seketika melepasi paras 4.80 berbanding dolar AS - paras terendah sejak mencecah 4.8850 pada 1998 dan disusuli dengan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai keadaan pasaran.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1925/1957 daripada 3.1926/1945 pada akhir urus niaga semalam, meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0432/0489 daripada 6.0468/0499 dan naik berbanding euro kepada 5.17541802 daripada 5.1799/1826, sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean termasuk susut berbanding baht Thailand kepada 13.3631/3816 daripada 13.3016/3148 dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 306.4/306.9 daripada 306.3/306.6.

Bagaimanapun ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.5652/5688 daripada 3.5672/5693 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.56/8.58 daripada 8.56/8.57, semalam. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28