Taib Mahmud seorang pemimpin progresif, dinamik - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

OSAKA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sebagai seorang pemimpin yang progresif dan dinamik.

Bercakap kepada media Malaysia di sini hari ini, beliau yang kini dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun bermula 17 Februari lepas berkata, bekas Ketua Menteri Sarawak itu juga telah memberikan sumbangan besar di peringkat nasional dan negeri.

"Saya bagi pihak rakan-rakan ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud, mantan TYT (Yang di-Pertua Negeri) Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak.

"Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada negara khususnya kepada rakyat Sarawak atas sumbangan besar yang telah diberikan beliau di peringkat nasional apatah lagi di peringkat Sarawak dan beliau adalah merupakan seorang yang progresif dan dinamik kepimpinannya,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Allahyarham juga adalah seorang pemimpin yang banyak memberikan idea-idea baharu untuk kepentingan rakyat.

"Saya secara peribadi mengenalinya dan beliau banyak memberikan idea-idea baru kepada saya untuk mentadbir kementerian yang saya ketuai sebelum itu dan ketika ini.

"Saya mohon supaya seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Allahyarham diberikan rahmat oleh ALLAH SWT,” katanya.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada jam 4.40 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan. - Bernama

Ka Siong ucap takziah kepada keluarga Taib Mahmud

Sementara itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Beliau yang juga Presiden MCA itu turut menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar terutamanya bagi rakyat Sarawak.

"Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Tun Abdul Taib Mahmud yang telah meninggal dunia di Kuala Lumpur.

"Pemergian Allahyarham pasti satu kehilangan besar buat negara khususnya rakyat Sarawak kerana Allahyarham merupakan insan yang membawa perubahan besar kepada Bumi Kenyalang itu sejak mengambil alih tampuk kepimpinan.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.