PMR perkukuh hubungan rakyat-kerajaan

PMR berfungsi sebagai saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan erat dalam pembinaan negara selaras agenda Malaysia MADANI.
PMR berfungsi sebagai saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan erat dalam pembinaan negara selaras agenda Malaysia MADANI.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Program MADANI Rakyat (PMR) akan diperluaskan ke peringkat negeri bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

PMR yang julung kali diadakan itu akan bermula di Zon Tengah selama tiga hari di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 hingga 25 Februari ini bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam.

PMR Zon Tengah merangkumi negeri Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

PMR merupakan kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang telah berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember lalu.

Menurut Sekretariat PMR, program tersebut merupakan anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kerajaan Negeri Selangor.

“PMR merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian-kementerian dan agensi-agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Malah, program itu turut memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan serta cadangan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan disediakan,” kata sekretariat itu dalam satu kenyataan rasmi pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Komunikasi rakyat-kerajaan

Pada masa sama, PMR berfungsi sebagai saluran komunikasi yang berterusan antara masyarakat dengan kerajaan sekali gus memperkukuhkan hubungan erat dalam pembinaan negara selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

Semua kementerian menyertai PMR yang mana masing-masing akan memperlihatkan pencapaian Kerajaan MADANI pada tahun 2023 di samping perancangan serta hala tuju 2024 untuk tatapan serta pemahaman masyarakat.

Antara dasar baharu yang diluncurkan pada 2023 ialah seperti Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Malah, bagi 2024, ia merupakan tempoh pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang telah ditetapkan di bawah dasar-dasar berkenaan.

Jualan Agro Mega MADANI turut diadakan sempena PMR yang menawarkan pelbagai barang keperluan pada harga berpatutan.
Jualan Agro Mega MADANI turut diadakan sempena PMR yang menawarkan pelbagai barang keperluan pada harga berpatutan.

Pengisian program

Bagi PMR Zon Tengah, pelbagai pengisian menarik disediakan kepada masyarakat meliputi pameran aset kerajaan, perkhidmatan bergerak, reruai serta karnival Jualan Mega MADANI.

“Selain itu, PMR Zon Tengah memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), jaringan keselamatan sosial serta perkhidmatan-perkhidmatan lain sepanjang program berlangsung.

“Di samping itu, aktiviti pemeriksaan kesihatan dan pembangunan keusahawanan turut disediakan kepada masyarakat masing-masing dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kerajaan Selangor,” kata sekretariat itu lagi.

Selain itu, PMR turut melibatkan kerjasama daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta.

Pada masa sama, Karnival Kerjaya turut diadakan sepanjang tiga hari penganjuran PMR Zon Tengah sekali gus memberi manfaat kepada para pencari kerja dan berpeluang menghadiri temuduga secara terus.

Memeriahkan lagi program, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan hadir pada PMR Zon Tengah di samping menyempurnakan majlis perasmian penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah pada 25 Februari ini.


INFO

Antara aktiviti menarik sempena PMR Zon Tengah:

-Jualan Agro Mega Madani

-Pameran aset-aset kerajaan/reruai

-Perkhidmatan penjagaan kesihatan (pergigian, derma darah, urutan terapi, kosmetologi dan lain-lain)

-Perkhidmatan kitar semula

-Pembangunan usahawan (Kuskop, SME Corp)

-Karnival kerjaya (PERKESO, pihak swasta)

-Perkongsian bual bicara jimat tenaga (Sirim Berhad)

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28