Pusat perlindungan moden pertama di Malaysia

Nancy (tengah) menandatangani plak perasmian PSSS Transit di Rantau Panjang.
Nancy (tengah) menandatangani plak perasmian PSSS Transit di Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Transit di Perumahan Kastam Lama, Rantau Panjang menjadi tempat untuk perlindungan awal dan bantuan emosi kepada mangsa yang mengalami isu psikososial.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pusat rujukan setempat dan intervensi itu merupakan yang pertama di negara ini.

Menurut beliau, pusat yang bernilai RM1.5 juta itu dibina dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, bilik pusat aktiviti serta blok penginapan yang dilengkapi dengan katil, bilik mencuci pakaian, ruang istirahat dan pantri.

"Pusat ini menyediakan perkhidmatan bantuan psikososial, sesi bimbingan dan kaunseling dan sokongan emosi bagi mengurangkan tekanan mangsa sebelum dirujuk kepada jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat berkenaan pada Rabu.

Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara mahu masyarakat peka terhadap individu sekeliling yang memerlukan bantuan psikososial bagi isu seperti kemurungan, keganasan rumah tangga dan pascapenceraian.

"Selain itu orang ramai perlu sensitif dengan isu pengabaian, penderaan, gangguan seksual, pemerdagangan manusia, kesihatan mental dan ketagihan dadah," katanya.

Nancy (tengah) mendengar penerangan mengenai PSSS pertama yang dibuka di Malaysia pada Rabu.
Nancy (tengah) mendengar penerangan mengenai PSSS pertama yang dibuka di Malaysia pada Rabu.

Tambah beliau, operasi PSSS Transit mendapat kerjasama kaunselor Berdaftar daripada beberapa agensi termasuk Lembaga Kaunselor Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Talian Kasih 15999 (KPWKM).

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sebelum ini KPWKM mewujudkan PSSS Mobile terus ke kawasan tumpuan terutama kawasan kediaman dan pedalaman bagi memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Sehingga kini seramai 44,783 individu mendapatkan khidmat bantuan psikososial di seluruh negara dan penubuhan PSSS Transit merupakan maklum balas daripada klien dan agensi berkaitan melalui perkhidmatan PSSS Mobile ke seluruh negara," katanya.