MAIWP tambah baik keperluan pendidikan 'anak-anak lorong'

Antara kanak-kanak jalanan yang menjadikan kaki lima bangunan sebagai tempat berteduh ketika tinjauan Bernama di Chow Kit dan Lorong Haji Taib Kuala Lumpur. Foto Bernama
Antara kanak-kanak jalanan yang menjadikan kaki lima bangunan sebagai tempat berteduh ketika tinjauan Bernama di Chow Kit dan Lorong Haji Taib Kuala Lumpur. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menambah baik keperluan kelas pendidikan yang diadakan oleh Pertubuhan Jejak Jalanan dan keperluan lain berkaitan untuk memastikan ‘anak lorong’ di Chow Kit, di sini tidak tercicir dalam pembelajaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan golongan asnaf di negara ini termasuk dalam soal pendidikan dan bersedia bekerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk tujuan itu.

"Ini janji saya dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya, kita akan hulurkan bantuan dengan kerjasama daripada Pertubuhan Jejak Jalanan, insya-ALLAH Baitulmal dan juga MAIWP akan bantu.

"Kita akan bekerjasama untuk memastikan anak-anak di sini mendapat pendidikan yang terbaik sepertimana rakan-rakan mereka yang lain... MAIWP dan saya akan memastikan kebajikan mereka ini terjaga,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di sekitar Chow Kit pada Isnin malam.

Antara bantuan yang akan ditawarkan MAIWP ialah bantuan sewaan premis, buku-buku dan sumbangan kepada guru sukarelawan yang memberikan pendidikan secara percuma selain akan mempertimbangkan pertambahan guru bagi memenuhi keperluan pendidikan yang sepatutnya.

Sementara itu Ketua Aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Azhan Adnan, 54, berkata dengan berbekalkan lampu jalan, pertubuhan itu mengadakan kelas untuk anak-anak asnaf di kawasan lapang dan terbuka iaitu di pekarangan kawasan Menara Raja Laut serta kawasan parkir berhadapan sebuah restoran mamak.

Tenaga pengajar pula terdiri daripada empat guru sukarelawan yang memberikan ilmu agama dan kelas akademik antaranya pengajaran Bahasa Melayu, Inggeris, Sains dan Matematik empat kali seminggu.

Beliau berkata, kelas itu merupakan tambahan pendidikan untuk golongan terbabit yang bersekolah di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih iaitu sebuah sekolah model khas kelolaan Kementerian Pendidikan bagi menyantuni golongan rentan yang berada sekitar Chow Kit atau ibu negara.

Artikel Berkaitan:

Azhan yang mesra dipanggil Abe Hae berkata, beliau berharap ‘anak-anak lorong’ berkenaan menggunakan pendidikan sebagai batu loncatan untuk keluar dari kepompong kesusahan sekali gus menghentikan kitaran kemiskinan yang dilalui mereka.

"Abe (abang) nak tengok mereka ini membesar dengan ilmu, kita tak nak tengok sejarah mak ayah mereka ini berulang kembali kepada anak-anak ini. Harapan abe nak lihat sekurang-kurangnya 10 hingga 20 peratus boleh berjaya seperti orang lain, masuk universiti.

"Anak-anak ini mungkin nanti mereka akan teringat dan kemudian mereka pula akan buat inisiatif kebajikan seperti ini dan bantu orang lain,” katanya.

NGO berkenaan kini dalam proses mengubah suai premis Pusat Transit Gelandangan milik pertubuhan itu yang sebelum ini dijadikan sebagai rumah sementara kepada golongan gelandangan, untuk disesuaikan sebagai pusat pendidikan untuk anak-anak asnaf di kawasan itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28