Perjalanan pulang ke rumah berakhir tragedi

Seorang penunggang motosikal maut, manakala, pemandu kereta parah dilanggar tanker di Kilometer 101.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Sungai Petani, malam tadi. Foto PDRM
Seorang penunggang motosikal maut, manakala, pemandu kereta parah dilanggar tanker di Kilometer 101.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Sungai Petani, malam tadi. Foto PDRM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Perjalanan pulang ke rumah seorang pekerja kilang berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan selepas dilanggar sebuah tanker di Kilometer 101.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, pada Isnin malam.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Vario sedang bergerak lurus di lorong kecemasan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa yang bergerak di lorong kecemasan tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah kereta Proton Waja yang berhenti untuk memberi bantuan kepada sebuah kenderaan yang rosak.

“Akibat daripada pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terlanggar pemandu kereta Proton Waja yang ketika itu berada di luar kenderaan mengakibatkan penunggang motosikal terjatuh di lorong kiri,” katanya ketika dihubungi Awani pada Selasa.

Zaidy berkata, sebuah tanker yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa bersama motosikalnya.

Katanya, akibat pelanggaran itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Waja berusia 39 tahun itu parah di kepala dan patah kaki.

Mayat penunggang motosikal dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) utuk bedah siasat dan pemandu kereta turut dibawa ke bahagian kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28