Iran mengaku lancar serangan balas ke atas AS

Serangan balas menyasarkan pangkalan tentera AS itu dilancarkan sehari selepas pengebumian Soleimani.
Serangan balas menyasarkan pangkalan tentera AS itu dilancarkan sehari selepas pengebumian Soleimani.
A
A
A

BAGHDAD - Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak selepas Iran mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan balas ke atas Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi sehari selepas pengebumian komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral, Qasem Soleimani yang turut menyaksikan tragedi selepas puluhan penyokongnya maut akibat dirempuh lautan manusia di wilayah Kerman, tenggara Teheran.

Pentagon dalam satu kenyataan memaklumkan lebih 12 peluru berpandu balistik dilancarkan dari Teheran menyasarkan dua pangkalan yang menempatkan pasukan tentera AS dan sekutunya.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut tentang kematian atau kemusnahan dalam insiden itu.

Stesen TV Iran melaporkan serangan ke atas pangkalan tentera udara Ain al-Assad di wilayah Anbar di barat Iraq dan Erbil di wilayah utara itu adalah satu tindakan balas dendam terhadap kematian Soleimani yang telah mencetuskan kemarahan banyak pihak dan meningkatkan ketegangan di Asia Barat.

IRGC turut memberi amaran keras kepada AS dan sekutunya berhubung serangan balas yang mungkin akan dilancarkan mereka.

Sementara itu, Rumah Putih dalam satu kenyataan memaklumkan Presiden Donald Trump sedang mengikuti perkembangan situasi tersebut dan turut mengadakan mesyuarat bersama pasukan keselamatan negara.

Ahad lalu, ahli Parlimen Iraq meluluskan resolusi untuk mengusir pasukan tentera AS bersama sekutunya dari negara itu.

Ia diluluskan secara sebulat suara selepas Baghdad meminta bantuan pasukan tentera AS untuk memerangi Daesh pada 2014. -AFP

Artikel Berkaitan: