Lelaki Thailand cuba seludup RON95

Tangki tambahan yang ditemui pada bahagian belakang kereta yang digunakan lelaki warga Thailand dipercayai mengandungi minyak petrol RON95 ketika pemeriksaan dilakukan KPDN Perak pada Sabtu.
Tangki tambahan yang ditemui pada bahagian belakang kereta yang digunakan lelaki warga Thailand dipercayai mengandungi minyak petrol RON95 ketika pemeriksaan dilakukan KPDN Perak pada Sabtu.
A
A
A

PENGKALAN HULU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan cubaan seorang warga Thailand menyeludup minyak petrol RON95 ke negara jiran pada Sabtu.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 51 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak ketika melakukan pemeriksaan kenderaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, di sini sekitar jam 11.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kereta bernombor plat Malaysia yang mahu menuju ke Betong, Thailand itu telah menemukan sebuah tangki tambahan pada bahagian belakang yang bersambung dengan tangki asal kenderaan tersebut.

"Kita turut menemui cecair yang disyaki minyak petrol berada di dalam tangki tambahan ini. Sehubungan itu, penguat kuasa KPDN Perak telah mengambil tindakan dengan menahan pemandu tersebut.

"Dianggarkan sebanyak 60 liter cecair yang disyaki minyak Petrol telah disita bersama kenderaan dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM5,123," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kamalludin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang membawa hukuman kepada individu terlibat iaitu denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, beliau menjelaskan ketika ini KPDN Perak sedang giat menempatkan anggota penguat kuasa di pintu masuk sempadan negara dalam usaha mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

"KPDN Perak terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat juga disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat-maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi," katanya.

Jelas beliau, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau beberapa saluran aduan yang disediakan untuk bersama-sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku.