Dekad 2020-an siapa dominasinya?

Anwar Ridhwan, Shahnon Ahmad, Abdullah Husain antara novelis yang telah mencorakkan dunia sastera negara.
Anwar Ridhwan, Shahnon Ahmad, Abdullah Husain antara novelis yang telah mencorakkan dunia sastera negara.
A
A
A

ADA petanda menunjukkan bahawa dekad ini didominasi oleh penghasilan sajak dalam konteks perkembangan sastera Melayu. Banyak sekali kumpulan dan antologi puisi dihasilkan. Begitu juga meriah dengan acara pendeklamasian, pesta dan festival bacaan sajak yang diadakan di sana sini.

Malah, badan-badan persatuan seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) serta persatuan penulis kenegerian sama-sama terlibat menganjurkan majlis pembacaan puisi.

Tokoh besar tanah air juga seperti R Hamkama dan Datuk Seri Dr Zaini Ujang adalah orang besar negara yang terlibat dalam penghasilan puisi. Kedua-duanya menghasilkan karya yang baik dan bermutu.

Subjek mutu dan nilai inilah yang menjadi tanda tanya sekian lama, juga perdebatan. Apakah suasana kemeriahan itu hanya berlegar dalam konteks kuantiti tetapi tidak kualiti?

Namun, biasanya dalam kalangan banyaknya sajak dan ramainya pelibatnya terutama dalam kalangan anak muda, akan muncul beberapa nama yang membawa makna dan signifikasi kepada dekadnya. Penyajak yang berwibawa inilah yang akan menjadi identik dekad ini.

Dalam sejarah perkembangan sastera Melayu, sudah tercatat ia tumbuh mengikut kekuatan penulis dan resepsi khalayak. Zaman sebelum perang, ia didominasi penulisan genre novel. Tokoh-tokoh yang membina kepengarangan zaman itu seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Rashid Talu, Abdullah Sidek dan Ishak Haji Muhammad.

Meski genre puisi banyak juga dihasilkan dan cerpen mendapat tempat di jiwa khalayak tetapi karya novel menjadi identik pada zaman sebelum perang itu.

Dekad 1950-an, kita menyaksikan genre cerpen menjadi popular meski terdapat sekitar 25 akhbar dan majalah yang menyiarkannya. Cerita masyarakat dilanda kesempitan hidup dengan percintaan anak muda menjiwai pen-cerpenan dekad itu. Perlahan-lahan subjeknya masuk ke inti persoalan iaitu politik dan ekonomi. Realisme sosialis banyak menggoda pengarang.

Artikel Berkaitan:

Dekad 1960-an, genre yang mendominasi ialah novel. Ranjau Sepanjang Jalan yang diilhamkan oleh keadaan masyarakat Melayu di desa-desa terpencil akibat dasar yang diamalkan oleh penjajah. Srengenge dengan ke-percayaan animisme dan nilai tradisi, juga dihubungkan dengan kemiskinan. Dua gejala tersebut masih diamalkan oleh orang Melayu, dan ternyata amat merugikan jika dipandang dari kaca mata pascamerdeka.

Seluang Menodak Baung membawa perubahan sikap daripada negatif kepada positif disebabkan oleh kemiskinan dan kelaparan mengakibatkan berlakunya demonstrasi yang akhirnya membawa kejayaan.

SUBJEK SOSIAL

Shahnon Ahmad mendapat tempat yang istimewa sebagai novelis. Diikuti Abdullah Husain, Arena Wati, Khadijah Hashim, Ibrahim Omar dan ramai lagi. Dekad 1960-an itu dikuasai novel politik, ekonomi dan budaya. Kejayaan dalam menulis genre novel sebagai nilai neraca kehadiran sebagai pengarang. Sastera Melayu berada dalam konteks modenisme, menganut aliran realisme dan lebih menekankan subjek sosial.

Dekad 1970-an dikuasai pula genre drama. Dekad itu menyumbang 320 kali pementasan dan 35 penskripan. Noordin Hassan, Bukan Lalang Ditiup Angin menjadi pelopornya. Diperkuat oleh pementasan Dinsman, Johan Jaaffar, Hatta Azad Khan dan Mana Sikana.

Drama absurd melihat dunia yang mendidih, tembus pandang tanpa batasan logik, hidup disiratkan dengan takwil dan tata nilai sering dipersengketakan yang menjadi idaman spektakuler khalayak.

Dialognya kaya dengan cakap-cakap aneh, lucu dan melucukan tetapi ketawanya intelek, pemikirannya disembunyikan dan membawa pesan dan ajaran. Masyarakat waktu itu terpesona dengan gaya drama absurd ala Malaysia yang bercampur baur dengan unsur surealisme dan eksistensialisme.

Dekad 1980-an dan seterusnya, sukar untuk diidentikkan dengan mana-mana genre sastera. Kesemua genre bergerak serentak dan tidak terlihat mana-mana yang mendominasi. Yang ketara genre novel dan drama tidak lagi menjadi kebanggaan. Sukar juga bagi genre cerpen untuk mengulangi ke-kuatannya seperti dekad 1950-an.

Keris Mas menjadi penghulu, juga memantapkan cerpen sebagai teks moden selepas dilakukan oleh A Rahim Kajai. Paling ketara dalam penulisan novel dalam dekad-dekad ini, nama yang utama menguasainya ialah Anwar Ridhwan dengan Naratif Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan.Dekad 1980-an sebenarnya zaman emas bagi kebangkitan dan pembangunan teori sastera. Nama-nama seperti Taabudiyah, Puitika Sastera Melayu, Pengkaedahan Melayu, Teksdealisme dan Takmilah mula diaplikasikan dalam penulisan esei, kritikan dan penulisan akademik di pusat-pusat pengajian tinggi.

TEORI BAHARU

Teori moden sebelum dekad 1980-an itu yang diaplikasikan untuk penulisan kritikan seperti formalistik, sosiologi, psikologi, moral dan arketaipal. Teori sastera baharu mula diperkenalkan seperti strukturalisme, semiotik, intertekstualiti, feminisme, new historisisme dan studi budaya. Zaman ini terkenal dengan nama pasca moden.

Pasca moden bererti untuk zaman genre novel. Dalam konteks sastera antarabangsa, pasca moden menghasilkan beratus-ratus novel dalam pelbagai jenis seperti realisme magis, metafiksyen, metahistoriografik, absurd, pastis, kits, pascakolonial dan lain-lainnya. Pemenang nobel sastera dunia seperti Orhan Pamuk, Kazuo Ishiguro dan Abd.Razak Gurnah adalah novelis.

Sementara Alice Munro pemenang nobel sastera dalam genre cerpen. Beliau berjaya merevolusikan seni bina cerita pendek, terutama dalam kecenderungan untuk maju ke hadapan, futuristik. Banyak menceritakan terutamanya masyarakat yang rumit tetapi dengan cara penulisan tidak rumit. Kejayaannya lambang kepada penulisan cerpen yang kontemporari.

Dalam konteks ini dalam dekad 2020-an ini, yang begitu meriah dalam penulisan puisi, disarankan penulisnya berjinak-jinak dengan karya yang bermutu. Mencari idola, mempelajari teknik dan strategi teksnya, kemudian secara perlahan-lahan menghasilkan karya yang boleh menjadi identik dekad 2020-an ini.

Dramatis absurd dunia seperti Samuel Beckett, Albert Camus, Arthur Adamov, Harold Pinter dan Tom Stoppard hanya terkenal kira-kira sedekad kemudian. Hanya kira-kira 10 tahun atau satu dekad kemudian, barulah kehadiran seseorang itu dapat dikenal pasti kedudukannya.

Pengalaman saya menulis cerpen Fakurdabakia setelah satu dekad kemudian barulah Sahlan Mohd Saman, Shafie Abu Bakar dan Kemala menetapkannya sebagai pelopor cerpen absurd di Malaysia. Dalam konteks dekad 2020-an masih panjang perjalanannya. Ada tanda-tanda juga genre drama sedang membangun. Di sana sini ada sahaja pementasannya.

Persatuan Teater Malaysia di bawah pentadbir aktifnya, Sakrani Shamsuddin menghasilkan pelbagai pementasan drama dan teater. Penulisan novel dan cerpen juga bergerak ke hadapan. Dekad 2020-an ini, memang ada pertandanya milik puisi tetapi tidak mustahil menjadi identik kepada genre drama.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia