Jualan Ihsan Rahmah 'Back to School' tawar diskaun hingga 30 peratus

KPDN Melaka anjur Jualan Ihsan Rahmah (JIR) 'Back to School' di empat pasar raya di negeri itu bermula hari ini hingga 3 Mac depan. Foto Bernama
KPDN Melaka anjur Jualan Ihsan Rahmah (JIR) 'Back to School' di empat pasar raya di negeri itu bermula hari ini hingga 3 Mac depan. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menganjurkan Jualan Ihsan Rahmah (JIR) 'Back to School' di empat pasar raya di negeri itu bermula hari ini hingga 3 Mac depan.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, empat pasar raya berkenaan ialah Keluargaku di Bukit Baru serta cawangan Mydin di Pulau Sebang, Jasin dan Ayer Keroh.

Beliau berkata, inisiatif di bawah Payung Rahmah itu menawarkan diskaun hingga 30 peratus meliputi pelbagai keperluan persekolahan, antaranya pakaian seragam, pakaian kokurikulum, kasut, alat tulis dan beg.

"Jualan JIR Back to School dianjurkan bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka untuk kembali ke sekolah pada Mac depan.

"Tiada had pembelian barangan keperluan kelengkapan persekolahan ditetapkan bagi setiap keluarga dan harga yang ditawarkan di bawah JIR ini adalah jauh lebih murah," katanya kepada pemberita di Pasar Raya Keluargaku di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan JIR 'Back to School' 2024 yang turut dihadiri Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hashim dan Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar.

Allex berkata, walaupun harga pakaian seragam sekolah dan kelengkapan ditawarkan di bawah program itu lebih murah, barangan terlibat berkualiti termasuk dari segi material kain dan jahitan.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih banyak pihak peruncit atau pasar raya dialu-alukan untuk turut serta melaksanakan program JIR 'Back to School' dan mereka yang berminat boleh menghubungi pihak KPDN Melaka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya penganjuran JIR 'Back to School' bertujuan merancakkan sektor peruncitan tempatan selaras dengan pelaksanaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

"Sempena TMM 2024, ramai pelancong tempatan dari dalam dan luar Melaka berkunjung ke sini dan selain melancong, mereka juga boleh membeli keperluan persekolahan anak-anak pada harga yang murah," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, sebanyak 80 set pakaian seragam sekolah disumbangkan kepada 80 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di sekitar negeri itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Pasar Raya Keluargaku. - Bernama