Lawatan kerja Ahmad Zahid ke Jepun dijangka perkasakan TVET

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

TOKYO - Memantapkan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara serta mengukuhkan Malaysia sebagai hab dalam industri halal global, merupakan antara fokus utama lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun bermula Sabtu.

Lawatan kerja tujuh hari sehingga 23 Februari ini, yang merupakan kunjungan sulung Ahmad Zahid ke Jepun sejak pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Kerajaan Madani pada Disember 2022, jelas mencerminkan keutamaan Malaysia dalam kedua-dua bidang berkenaan yang mempunyai pasaran luas di peringkat antarabangsa.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun, Anwar Udzir berkata menerusi lawatan tersebut, taraf latihan dalam bidang teknikal dan vokasional negara dijangka dapat dipertingkatkan.

"Lawatan itu juga dijangka memberi banyak peluang kepada syarikat Malaysia yang berminat untuk menceburi dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat di sini dalam industri halal di Jepun,” katanya, sambil menjelaskan bahawa pemahaman mengenai sektor halal di negara berkenaan, masih boleh dikembangkan.

Pada masa yang sama, beliau berkata Ahmad Zahid yang dijadual tiba di sini Sabtu malam, dijangka menghadiri beberapa acara semasa lawatan kerja tersebut ke Tokyo dan Osaka.

Pada Ahad, Anwar berkata, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan bertemu dengan penuntut dan diaspora Malaysia yang berada di ‘negara matahari terbit’ itu, dalam majlis ramah mesra.

Semasa lawatan kerja itu, Ahmad Zahid juga akan dianugerahkan Ijazah Kehormat dari Institut Teknologi Shibaura (SIT), Tokyo sebagai pengiktirafan sumbangan beliau dalam pengukuhan kerjasama pendidikan teknikal Malaysia-Jepun dan usaha dalam memartabatkan TVET.

Ahmad Zahid juga dijadual mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Masahito Moriyama.

Artikel Berkaitan:

"Semasa pertemuan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, akan diberi taklimat mengenai pengurusan dan dasar TVET di Jepun. Pertemuan dan taklimat itu selaras dengan matlamat untuk menzahirkan Dasar TVET Kebangsaan yang dijangka dilancarkan pada Jun,” kata Anwar.

Beliau juga memaklumkan Ahmad Zahid akan menerima watikah pelantikan sebagai Presiden Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA) Antarabangsa bagi Cawangan Malaysia, iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa memfokuskan promosi jalinan kerjasama antarabangsa dalam pelbagai bidang.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN) bagi mempelajari sistem TVET Jepun yang boleh dicontohi, selain NEC Super Tower.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Perkongsian Inovasi antara MyDIGITAL Corporation dan Toshiba Digital Solutions Corporation bagi aplikasi teknologi data raya.

Semasa di Osaka, Ahmad Zahid dijadual menghadiri sesi libat urus bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Osaka (OCCI) dan Sesi Meja Bulat: ‘Menghubungkan Ekosistem Halal Antara Malaysia dan Jepun bagi Meningkatkan Perdagangan, Pelaburan dan Pekerjaan Berkualiti’.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia juga akan mengadakan lawatan ke Sanda Shokuniku Kosha Co Ltd untuk melihat operasi pusat penyembelihan Jepun dalam pengeluaran dan pembekalan daging lembu halal.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan kunjungan itu merupakan lawatan peringkat tinggi yang pertama antara kedua-dua negara, sejak penaiktarafan hubungan dua hala Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Komprehensif Strategik pada Disember 2023.

Kenyataan itu menyebut lawatan itu menggariskan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, demi manfaat bersama kedua-dua negara.

Sejak 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut.

Pada 2023, nilai dagangan dengan Jepun berjumlah RM156.64 bilion (AS$34.39 bilion) yang merangkumi 5.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun 2023, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion), dan menyediakan pekerjaan kepada 337,758 orang.

Turut mengiringi Ahmad Zahid dalam lawatan kerja ke Jepun itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan serta wakil institusi pengajian tinggi. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28