‘Jangan sebab beza parti politik, kita jadi tidak prihatin’ - AMK

Nabil. Laporan Sinar Harian.
Nabil. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu, Datuk Razali Idris berhubung janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membasmi kemiskinan tegar dalam negara ini.

Ketua Penerangannya, Nabil Halimi berkata, usaha untuk menoktahkan kemiskinan sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Madani.

“Jangan disebabkan beza parti politik, berbeza pandangan kita jadi tidak prihatin untuk bantu miskin tegar. Ini yang selalu disebut sebagai pemimpin ‘tin kosong’.

“Ketua Penerangan Bersatu mempersoalkan perkara ini menunjukkan ketidakyakinan mereka akan institusi yang menjaga syariat yang ditetapkan oleh ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Bersatu mempersoalkan janji Anwar mengenai matlamat menoktahkan isu miskin tegar di negara ini.

Menurut Razali, selepas setahun berjanji akan menyelesaikan perkara itu, kini Perdana Menteri menggesa institusi zakat menambah baik kualiti perkhidmatan agar mampu menyelesaikan masalah kemiskinan tegar.

Mengulas lanjut, Nabil berkata, zakat adalah usaha membantu orang miskin dan Dhuafa' menerusi tata kelola yang betul supaya ia dapat diagihkan secara adil kepada golongan sasar.

Ujarnya, menerusi pelbagai inisiatif dan polisi yang dirangka oleh kerajaan, ia mampu membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Tata kelola yang baik dalam institusi zakat adalah usaha kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan melalui projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang telah ditambah peruntukan bagi Belanjawan 2024,” katanya.