Isu beras Madani: Tadbir urus kerajaan nampak bercelaru - Radzi Jidin

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mempersoalkan kecelaruan yang timbul berkaitan isu pelarasan baharu beras putih tempatan dan import yang umumkan sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Menurutnya, pengumuman dibuat Pengerusi, Task Force (Kluster Makanan), Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin juga dilihat bercanggah dengan maklum balas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Persoalan saya, mana Menteri yang bertanggungjawab? Mengapa Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL yang umum keputusan? Ramai pihak yang keliru dengan pengumuman yang dibuat.

"Hari Rabu, orang yang dilantik Perdana Menteri buat pengumuman kata harga beras naik dan telah dipersetujui oleh Perdana Menteri dan harga baru akan berkuatkuasa pada hari Isnin, 19 Februari 2024.

"Hari Jumaat pula Perdana Menteri kata harga kawalan beras akan dibincang minggu hadapan dan yakin boleh dikurangkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada Rabu, Syed yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang mengumumkan bahawa kerajaan memperkenalkan kategori tunggal beras putih tempatan dan import yang diberi nama Beras Putih Malaysia Madani.

Katanya, ketetapan berkenaan dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dengan perkara ini sudah dibentang dan dipersetujui Anwar.

Berdasarkan pengumuman tersebut, harga siling baharu bagi beras putih adalah masing-masing RM30.00, RM15.50 dan RM3.50 bagi kampit 10, 5 dan 1 kilogram (kg) dan akan berkuatkuasa pada 19 Februari 2024.

Artikel Berkaitan:

Harga siling sedia ada bagi beras tempatan untuk 10kg, 5kg dan 1kg ialah masing-masing RM26.00, RM13.00 dan RM2.60.

Bagaimanapun perkembangan itu menimbulkan perdebatan kerana melibatkan peningkatan harga makanan harian dan akan membebankan golongan berpendapatan rendah serta tiada perincian lanjut dinyatakan bagi beberapa perkara berbangkit.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, keputusan mengubah harga beras tempatan adalah satu perkara dasar yang penting dan perkembangan tersebut telah menunjukkan tadbir urus kerajaan dilanggar sesuka hati.

Katanya, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali juga dilapor berkata, harga beras putih tempatan sebagai bahan makanan terkawal perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum sebarang keputusan diumumkan.

"Nampak tak betapa bercelarunya proses pembuatan dasar kerajaan ni? Mana satu yang betul sebenarnya? Ini bukan kali pertama sebegini.

"Di luar sana, pihak industri tertanya-tanya, apa sebenarnya hendak dilaksanakan oleh kerajaan? Dah lebih setahun kita dok pusing roundabout macam ni. Bangunlah daripada mimpi wahai Kerajaan PH-BN. Kasihanilah rakyat," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28