Pekerja p-hailing bakar kereta polis bantuan ditahan

Anggota polis berada di lokasi kejadian bagi menyiasat kes bakar kereta polis bantuan di MRT Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis. - Foto: PDRM
Anggota polis berada di lokasi kejadian bagi menyiasat kes bakar kereta polis bantuan di MRT Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis. - Foto: PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang juga pekerja p-hailing ditahan polis kerana membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada jam 1.52 pagi tadi.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menahan lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan di rumahnya di Flora Damansara kira-kira jam 12 tengah hari.

"Suspek disyaki menggunakan bahan bakar yang dibaling ke arah kenderaan terbabit sebelum terbakar.

"Selain itu, suspek juga dipercayai melakukan vandalisme menconteng dinding hentian bas dengan perkataan tidak elok," katanya pada Khamis

Anggota polis berada di lokasi kejadian bagi menyiasat kes bakar kereta polis bantuan di MRT Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis. - Foto: PDRM
Anggota polis berada di lokasi kejadian bagi menyiasat kes bakar kereta polis bantuan di MRT Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis. - Foto: PDRM

Mohd Fakhrudin berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan.

"Polis masih menyiasat motif suspek bertindak sedemikian dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, polis mengesan seorang lelaki memuat naik video mendakwa bertindak membakar sebuah kenderaan polis bantuan di laman sosial TikTok.

Lelaki terbabit memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia bersama kenderaan sedang terbakar.

Menerusi video tular di laman TikTok, lelaki berkaca mata itu memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia bersama kenderaan rentung tersebut.

Berpelakuan biadab dan didakwa sengaja mencabar anggota penguat kuasa, lelaki terbabit turut meninggalkan tanda pagar #polistakdekeje pada hantaran berkenaan.

"Done bakar kereta polis, puas hati aku," demikian kapsyen dalam video terbabit.