Empat maut, tujuh hilang bot bawa migran terbalik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PANAMA CITY - Seramai empat migran maut dan tujuh lagi hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik di luar pantai timur laut Panama akibat cuaca buruk, menurut pihak berkuasa Panama pada Rabu, lapor Xinhua.

Menurut laporan media tempatan yang disiarkan semula oleh Senafront atau perkhidmatan sempadan kebangsaan negara Amerika Tengah itu, seramai 14 lagi penumpang bot terselamat.

Senafront berkata, kumpulan migran berkenaan dipercayai sedang diangkut oleh kumpulan penjenayah.

Bot itu berlepas dari Colombia dan terbalik berhampiran komuniti Carreto di wilayah pribumi Guna Yala di Panama.

Pihak berkuasa itu berkata, usaha mencari dan menyelamat yang diselaraskan dengan Kementerian Awam dan pihak berkuasa imigresen, telah digerakkan untuk mendapatkan mangsa termasuk memberkas penjenayah terlibat.

Setiap tahun, ribuan migran cuba memasuki Panama melalui Jurang Darien, satu-satunya laluan darat dianggap berbahaya yang menghubungkan Amerika Tengah dan Selatan, dalam perjalanan mereka ke utara untuk mencari pekerjaan.

Data Perkhidmatan Migrasi Kebangsaan Panama menunjukkan, pada tahun 2023 sahaja, seramai 520,085 migran dari Colombia memasuki Panama melalui sempadan Darien, mengatasi rekod 500,144 migran yang melalui laluan sama dari 2009 hingga 2022. - Bernama/Xinhua

Artikel Berkaitan: