35 maut rempuhan di majlis pengebumian Soleimani

Rakyat Iran mengiringi kenderaan yang membawa jenazah Soleimani di kampung kelahirannya di Kerman hari ini. - Foto AFP
Rakyat Iran mengiringi kenderaan yang membawa jenazah Soleimani di kampung kelahirannya di Kerman hari ini. - Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Sekurang-kurangnya 35 orang maut dan 48 lagi cedera akibat rempuhan manusia ketika majlis pengebumian komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani hari ini.

Menurut laporan, kejadian berlaku di bandar Kerman yang merupakan kampung halaman Soleimani.

Menerusi video awal yang tular di media sosial menunjukkan beberapa orang terbaring di atas jalan raya dalam keadaan tidak bermaya sambil yang lain menjerit dan cuba memberi bantuan kepada mereka.

Ketua Perkhidmatan Kecemasan Iran, Pirhossein Koulivand mengesahkan kejadian itu dalam satu panggilan telefon.

"Beberapa orang meninggal dunia dan cedera akibat dirempuh semasa majlis pengebumian Soleimani," katanya.

Sementara itu, jenazah Soleimani tiba di kampung halamannya di Kerman hari ini, sehari selepas jutaan rakyat negara itu berkumpul di ibu negara bagi memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Menerusi laporan televisyen negara, lautan manusia memenuhi jalan di Kerman sambil membawa bendera kebangsaan dan gambar Soleimani.

Majlis pengebumian itu sekali gus menandakan berakhirnya tempoh berkabung selama tiga hari buat Komander Pasukan Quds yang terkorban dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Baghdad Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis pengebumian Soleimani, pemimpin IRGC, Hossein Salami turut menyifatkan kematian komander itu akan memberi ancaman yang lebih besar kepada musuh Iran.

Soleimani dikebumikan antara jam 2 petang hingga 4 petang (waktu tempatan). - Agensi