'Roshaan sempat hantar mesej sebelum kejadian' - Rakan

Mendiang Roshaan Singh Raina
Mendiang Roshaan Singh Raina
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakan kepada pembantu juruterbang yang terkorban dalam tragedi pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar pada Selasa mendakwa, mangsa, Roshaan Singh Raina, 43, sempat memberitahu akan bertolak dengan penerbangan solonya sebelum kejadian itu.

Rakan sekolahnya, Navin, menerusi Facebook miliknya memaklumkan, Roshaan menghantar mesej itu dalam kumpulan sembang 'Primary School United' dan rakan-rakannya kemudian mengucapkan selamat kepadanya.

Mendiang katanya, tidak membalas mesej selepas itu sebelum dia menghantar mesej baharu pada jam 2.30 petang bertanyakan keadaannya sama ada semuanya baik namun tiada jawapan.

"Sebelum tidur pada jam 1 pagi, saya berasa tidak senang dan melakukan pencarian 'nahas kapal terbang' di Google.

"Saya tidak tahu mengapa saya berbuat demikian dan saya kecewa, terjumpa beberapa artikel kejadian.

"Saya terkejut, tidak percaya...saya tidak dapat mencari perkataan yang sesuai," katanya.

Navin menyatakan mendiang merupakan rakan sekelas semasa di sekolah rendah dan mengakui dia dan seorang lagi sahabat iaitu Ranjiv sesuai digelar sebagai 'Three Musketeers of Woodlands Primary School Singapore'.

Katanya, mereka berkongsi pelbagai pengalaman tidak ternilai menjalin persahabatan sejak di sekolah rendah.

Artikel Berkaitan:

"Kami bertemu semula beberapa bulan yang lalu selepas bertahun-tahun lamanya dan ia merupakan pertemuan yang penuh emosi, berkongsi gambar, cerita dan pengalaman.

"Kami merancang untuk bertemu sekali lagi pada Mac dan berbasikal di sekitar Memorial Kranji, rumah lama Ranjiv, serta blok 162 lama di Woodlands iaitu tempat saya pernah menginap dan hentian bas Malaysia berkumpul sebelum bertolak ke tambak. Saya akan merindui kamu," katanya.

Dalam kejadian pada jam 1.30 petang Selasa, juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan maut selepas pesawat ringan model BK 160 Gabriel dinaiki mereka terhempas di Kampung Tok Muda.

Jasad mendiang dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang petang Rabu dan tiba di kediaman keluarganya di Sunway Bukit Lenang, Iskandar Puteri pada jam 9.50 malam manakala jasad Hsiang Khoon dibawa ke Pulau Pinang.

Upacara ziarah dan penghormatan terakhir terhadap mendiang Roshan akan diadakan di rumahnya mulai jam 10 pagi Khamis sebelum dibawa ke krematorium di Jalan Kebun Teh di sini pada 12 tengah hari.