Polis Pahang pantau kes libatkan isu politik

Abd Jalil (barisan hadapan, tengah) bergambar bersama ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah selepas Sidang Media Khas Pencapaian 2019 dan Perancangan 2020 Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Abd Jalil (barisan hadapan, tengah) bergambar bersama ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah selepas Sidang Media Khas Pencapaian 2019 dan Perancangan 2020 Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang akan memberi tumpuan menangani kes melibatkan isu politik bagi mengelak kekecohan yang boleh menggugat ketenteraman negara khususnya di negeri ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, ia termasuk kes yang berunsurkan ugutan, fitnah, hasutan, isu perkauman dan agama yang sengaja dicetuskan segelintir pihak demi kepentingan politik mereka.

Menurutnya, isu politik turut mengganggu tugas hakiki pihak polis namun terpaksa ditangani sebaik mungkin bagi mengelak sebarang situasi yang tidak diingini.

"Justeru, kami sentiasa memantau situasi semasa perkembangan politik di Pahang supaya sebarang isu panas yang ditimbulkan parti politik yang bertelagah dapat ditangani lebih awal secara berhemah," katanya pada Sidang Media Khas Pencapaian 2019 dan Perancangan 2020 Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalannya, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nanyan; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti(JPJKK), Datuk Abdul Aziz Salleh dan Ketua Cawangan Khas Pahang, Datuk Mohd Khalid Ismail serta ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah.

Mengulas mengenai kadar indeks jenayah di negeri ini, Abdul Jalil berkata, bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, sebanyak 3,269 kes dicatatkan dan ia menunjukkan penurunan sebanyak 313 kes atau 8.7 peratus bagi tempoh sama tahun 2018 (3,582 kes).

Bagaimanapun menurutnya, kes melibatkan jenayah kekerasan tahun lalu menunjukkan peningkatan daripada 573 kes pada 2018 kepada 592 kes tahun lalu.

"Antara kes yang menunjukkan peningkatan termasuk kes bunuh membabitkan 17 kes dicatatkan tahun lalu berbanding lapan kes pada 2018 bagaimanapun kebanyakan kes yang berlaku bukan melibatkan pembunuhan terancang.

Artikel Berkaitan:

"Kes rogol juga meningkat sebanyak lima kes berbanding 114 pada 2018 dan bagi kes ini, ia turut melibatkan mangsa bawah umur dan kes sumbang mahram," katanya.

Menurutnya, bagi kes dadah seramai 16,507 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan tahun lalu berbanding 15,746 pada tahun sebelumnya dengan nilai sitaan harta mencecah lebih RM4.5 juta.

"Bagi kes melibatkan jenayah komersial, sebanyak 1,244 kertas siasatan dibuka pada 2019 berbanding 1,260 kes pada 2018 dengan nilai kerugian dianggarkan RM47.5 juta tahun lalu.

"Kes tipu mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 1,066 kes iaitu meningkat sebanyak 13 kes berbanding 1,053 kes pada 2018," katanya.

Beliau berkata, bagi kes kemalangan di negeri ini, ia menunjukkan peningkatan daripada 20,637 kes pada 2018 kepada 21,211 tahun lalu dengan 399 kes kemalangan maut dilaporkan melibatkan 454 kematian.