Wanita maut nahas empat kenderaan

Anggota bertugas memberikan rawatan awal kepada kesemua mangsa yang terlibat. Foto Ihsan PDRM
Anggota bertugas memberikan rawatan awal kepada kesemua mangsa yang terlibat. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

BERA - Perjalanan sebuah keluarga ke Genting Highlands bertukar tragedi apabila seorang maut manakala tiga cedera selepas terlibat dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer (KM) 15 Jalan Temerloh-Bahau di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan kereta jenis Perodua Bezza, Perodua Viva dan motosikal jenis Honda Wave.

Menurutnya, mangsa iaitu pemandu kereta Alza, Leong Poh Voon, 46, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati pemandu kereta Alza sedang dalam perjalanan dari Bahau ke Temerloh.

Keadaan kereta yang remuk akibat kemalangan di KM15 Jalan Temerloh-Bahau pada Rabu. Foto Ihsan PDRM
Keadaan kereta yang remuk akibat kemalangan di KM15 Jalan Temerloh-Bahau pada Rabu. Foto Ihsan PDRM

"Apabila sampai di tempat kejadian semasa melalui sebuah selekoh turun bukit, tiba-tiba datang sebuah kereta Bezza dari arah bertentangan masuk ke laluan Alza sedikit dan telah bertembung dengan Alza terbabit," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, akibat perlanggaran tersebut, Viva dan motosikal di belakang Alza tidak sempat mengelak lalu melanggar MPV terbabit.

Jelasnya, akibat kemalangan tersebut, pemandu Alza meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpang kereta terbabit iaitu lelaki berusia 57 dan wanita berusia 21 tahun cedera parah dan masing-masing dirawat di Hospital Bera dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, seorang lagi penumpang Alza, wanita berusia 24 tahun ditempatkan di Zon Hijau di Hospital Bera dan seorang lagi wanita berusia 19 tahun tidak cedera.

Empat buah kenderaan yang terbabit dalam nahas tersebut. Foto Ihsan PDRM
Empat buah kenderaan yang terbabit dalam nahas tersebut. Foto Ihsan PDRM

"Pemandu Bezza iaitu wanita berusia 29 tahun cedera parah manakala penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 37 tahun ditempatkan di Zon Kuning, kedua-duanya dirawat di Hospital Bera dan pemandu Viva lelaki berusia 36 tahun tidak cedera.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelas beliau.