Suami isteri maut rempuh pacuan empat roda rosak tepi jalan

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

HULU SELANGOR - Tidak perasan kenderaan pacuan empat roda berhenti di tepi jalan akibat rosak, pasangan suami isteri meninggal dunia di tempat kejadian setelah merempuh kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, motosikal dinaiki pasangan suami isteri itu dipercayai telah merempuh kenderaan pacuan empat roda (4x4) jenis Mitsubishi di Kilometer 415.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) pada Isnin.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 11.05 pagi itu, motosikal jenis Yamaha Nmax yang ditunggang oleh suami berusia 38 tahun bersama pembonceng berusia 36 tahun telah melanggar kenderaan 4x4 terbabit sebelum terpelanting ke sebelah kanan dan terkena pada kereta jenis Toyota yang sedang melalui jalan tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang dari kampung halaman di Kamunting, Perak ke Kuala Lumpur.

"Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa tidak perasan kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

"Mangsa telah melanggar bahagian belakang kenderaan 4x4 tersebut, mengakibatkan kedua-dua mangsa telah terpelanting dan terkena pada kereta Toyota yang sedang melalui jalan itu.

"Mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Faizal berkata, proses bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit diminta tampil untuk membantu siasatan.