Che Munah terima bantuan sejak 2014

Kisah Che Munah tular di laman sosial sejak Isnin lalu.
Kisah Che Munah tular di laman sosial sejak Isnin lalu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Warga emas penjaja asam keping yang tular di laman sosial baru-baru ini merupakan penerima Bantuan Orang Tua (BOT) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350 setiap bulan sejak Januari 2014.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh, Wan Norhayati Wan Husain berkata, sebelum tinggal di daerah ini, Che Munah Che Man,80, juga menerima bantuan bulanan JKM di Pasir Mas.

Katanya, hasil lawatan ke rumahnya mendapati Che Munah sudah berkahwin dengan Abdullah Jusoh, 64, sejak enam tahun lalu.

"Selain bantuan JKM, Che Munah juga menerima sumbangan tetap RM300 setiap bulan ke akaun CIMB anaknya yang berkerja di Pahang.

"Purata pendapatan hasil jualan asam keping RM100 sebulan, dia juga menerima sedekah dari orang ramai ketika menjaja," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Wan Norhayati menambah, suaminya berkerja sebagai buruh binaan dengan purata pendapatan RM350 seminggu dan hanya musim tengkujuh tidak berkerja.

Katanya, mereka tinggal di rumah milik sendiri sejak enam tahun lalu yang mana ia dibina suami yang berkemahiran tanpa mengeluarkan kos upah.

"Ada bilik, ada dapur dan ada bilik air, keadaan rumah tidak terurus kerana mereka tidak selalu berada di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Asalnya rumah mereka mempunyai bekalan air sumber Air Kelantan (AKSB) tetapi telah dipotong bekalan kerana tidak menjelaskan tunggakan, ketika ini mereka menggunakan sumber air rumah anak tiri yang tinggal bersebelahan," katanya.

Menurutnya, pendapatan dan bantuan yang diterima cukup untuk keperluan mereka.

Bagaimanapun katanya, JKM akan terus membantu termasuk menggerakkan sukarelawan untuk membersihkan rumah dan kawasan persekitaran yang tidak terurus itu.