15 wartawan Malaysia sertai Program Jejak Serumpun di Indonesia

Ashwad (kiri) beramah mesra dengan peserta yang menyertai Program Jejak Serumpun Ismawi Malaysia ke Jakarta, Indonesia
Ashwad (kiri) beramah mesra dengan peserta yang menyertai Program Jejak Serumpun Ismawi Malaysia ke Jakarta, Indonesia
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 15 wartawan daripada pelbagai agensi berita Malaysia menyertai Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Malaysia di Jakarta bermula 12 hingga 21 Februari.

Presiden Iswami Malaysia, Ashwad Ismail berkata, lawatan ilmu itu dibuat sebagai pendedahan kepada wartawan Malaysia mengenai pelbagai dimensi perspektif di sebalik kerancakan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2024, pada 14 Februari dan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2024, yang berlangsung pada 20 Februari di Jakarta.

Menurutnya, selain pendedahan kepada proses demokrasi antara yang terbesar di dunia dan membina keakraban bersama wartawan Indonesia sempena HPN 2024, wartawan Malaysia yang terpilih juga bakal didedahkan dengan kerancakan sektor teknologi hijau, kelestarian dan ekonomi digital di negara jiran itu.

Ashwad (kiri).
Ashwad (kiri).

“Kembara ilmu yang singkat tapi padat ini bukan sahaja berkisar tentang pendedahan kepada pesta demokrasi, tetapi juga pertemuan dan dialog dengan mereka yang menjadi cerminan kepada kehebatan Indonesia contohnya, pemain industri ‘fintech’ ekonomi digital, sektor pembangunan lestari serta keupayaan mereka merakyatkan teknologi hijau.

“Dalam landskap geopolitik dunia yang kian mencabar ini, wartawan Malaysia juga harus didedahkan juga dengan usaha-usaha diplomasi ‘Track 2’ oleh pelbagai institut dan badan bukan kerajaan di Indonesia yang mengangkat agenda kebersamaan antara rakyat di pentas ASEAN serta internasionalisme yang positif,” katanya.

Iswami adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun Nusantara.

Menerusi Program Jejak Serumpun yang ditaja oleh Berjaya Corporation Berhad, Green Growth Asia Foundation dan vFive Group ini juga, wartawan Malaysia akan mengikuti beberapa siri lawatan dan pertemuan bersama Iswami Indonesia yang diketuai Presidennya, Bapak Asro Kamal Rokan.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga akan mengadakan pertemuan bersama pimpinan media Indonesia serta agensi-agensi penting dalam mengukuhkan lagi kebersamaan dua negara serumpun ini.

Para peserta dan kepimpinan Ismawi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.
Para peserta dan kepimpinan Ismawi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.

Selain 15 wartawan tersebut, ketua-ketua pengarang dari Malaysia juga turut menyertai delegasi Iswami ke program HPN 2024, acara tahunan yang mengumpulkan lebih 6,000 wartawan dari seluruh Indonesia.

"Secara tradisinya, Iswami Malaysia dijemput menghadiri HPN setiap tahun, yang diadakan di kota-kota berlainan.

"Sambutan HPN adalah pada 9 Februari setiap tahun, bagaimanapun ditunda pada 20 Februari berikutan berlangsungnya Pilpres 2024," jelasnya.