Manfaatkan cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah

Kanak-kanak gembira bermain di taman permainan sempena cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina. Gambar hiasan Bernama.
Kanak-kanak gembira bermain di taman permainan sempena cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina. Gambar hiasan Bernama.
A
A
A

BERMULA Khamis, 8 Februari 2024, anak-anak di Kedah memulakan cuti akhir tahun persekolahan berikutan Israk Mikraj diputuskan sebagai hari cuti bagi negeri Jelapang Padi itu.

Bukan sahaja anak-anak, ibu bapa juga boleh dikatakan antara paling sibuk berdepan cuti panjang.

Ini kerana, bagi pelajar asrama, urusan membawa pulang barangan peribadi, pakaian, buku dan peralatan pembelajaran telah selesai dilakukan pada Rabu 7 Februari sebelum merancang perjalanan lain.

Buat kaum Tionghua pula, sudah pasti cuti persekolahan kali ini lebih bermakna kerana dapat menyambut Tahun Baharu Cina dalam suasana penuh meriah.

Tidak kurang juga bagi pasangan mempelai yang ingin mendirikan rumah tangga, meraikan acara gilang-gemilang di mana penulis sendiri sudah menerima banyak undangan perkahwinan.

Inilah masa sesuai untuk setiap keluarga merancang percutian bermanfaat, lebih-lebih lagi sekiranya kedua ibu bapa mempunyai kerjaya masing-masing.

Namun, harus beringat, dalam keseronokan bercuti, perbelanjaan keluarga harus dikawal agar tidak 'tersepit' di kemudian hari.

Bercutilah pada kemampuan masing-masing serta usah terlalu ikut trend atau kejar 'viral' semata-mata demi konten.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana sebaik selesai cuti kira-kira sebulan, proses pendaftaran persekolahan sesi 2024/2025 bakal bermula.

Bagi yang mempunyai anak ramai, sudah pasti banyak wang perlu diperlukan untuk membeli buku, pakaian sekolah dan lain-lain.

Dua hari kemudian, umat Islam akan memulakan ibadat puasa Ramadan yang ternyata banyak persiapan dari segi kewangan diperlukan, lebih-lebih lagi sebulan dari tarikh itu, akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pula.

Bukan satu kemestian perlu bercuti di pusat peranginan ternama mahupun lokasi popular, malahan di dalam kawasan sendiri pun boleh merasai indahnya percutian.

Seperti penulis yang berada dalam daerah Kuala Muda, banyak tempat menarik boleh diterokai setanding lokasi tumpuan lain seperti mendaki Gunung Jerai, menjejaki Sungai Batu yang terkenal sebagai Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara, menyusuri Sungai Merbok menggunakan bot, membeli-belah hasil laut di Tanjung Dawai selain menikmati panorama indah di Pantai Merdeka.

Terdapat lokasi tumpuan baharu di daerah Kuala Muda seperti The TL House Puncak Birut, taman tema air Barangan Aqua Park di Pinang Tunggal, bersukan di taman rekreasi Bukit Banyan dan Bandar Perdana serta melawat ladang tiram Bakau Hijau di Sungai Batu Besi.

Berbeza bagi sesetengah orang, cuti sekolah mungkin menjadi saat yang paling ditunggu-tunggu untuk berehat di rumah melakukan aktiviti bersama insan tersayang.

Banyak perancangan boleh dilakukan bersama antaranya bergotong-royong membersihkan kediaman, memasak menu kesukaan, menonton filem dan macam-macam lagi.

Tidak dilupa, pemantauan harus ditekankan dalam soal penggunaan gajet pada anak-anak memandangkan kini mudah mengakses apa juga kandungan termasuklah bahan pornografi yang tidak bertapis.

Begitu juga ketika melakukan aktiviti luar seperti bermandi-manda, memancing, menunggang basikal mahupun motosikal, diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap bahaya yang tidak diundang.

Sebagai ibu bapa Muslim, gunakan manfaat cuti sekolah kali ini dengan memenuhi tangki emosi anak-anak dengan pengisian rohani termasuklah penekanan pembacaan al-Quran dan solat berjemaah.

Memetik sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Setiap anak dilahirkan bagaikan kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa membentuk keperibadian anak-anak mengisi masa sebaik-baiknya sepanjang cuti sekolah ini dengan perkara yang berfaedah tidak kira di mana lokasi semasa cuti sekolah ini.

*Siti Zubaidah Zakaraya adalah Wartawan Sinar Harian Kedah