Arsenal pesta gol, ratah habis West Ham di London

Magalhaes (tengah) meraikan jaringan ketika Arsenal berdepan West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium London pada Ahad. Foto AFP
Magalhaes (tengah) meraikan jaringan ketika Arsenal berdepan West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium London pada Ahad. Foto AFP
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Arsenal meneruskan tekanan terhadap penyandang juara Manchester City dan pendahulu Liverpool dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah West Ham United, 6-0 pada Ahad.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium London itu, anak buah Mikel Arteta terlebih dulu garang apabila memimpin separuh masa pertama dengan empat gol.

Gol The Gunners dijelmakan bermula dengan sentuhan William Saliba minit ke-32, sebelum Bukayo Saka melebarkan jaringan dengan gol minit ke-41.

Gabriel Magalhães juga tidak mahu ketinggalan mencipta nama selaku penjaring dengan gol minit ke-44 sebelum jaringan Leandro Trossard (m-47) memastikan pasukan pelawat ke bilik persalinan dengan kedudukan 4-0.

Separuh masa kedua, The Hammers angkatan yang dikemudikan pengendali berpengalaman David Moyes berusaha kembali bangkit memberi saingan.

Bagaimanapun, Arsenal yang terlalu unggul melebarkan jaringan sekali lagi menerusi Saka dengan gol minit ke-63 sebelum bekas bintang West Ham United, Declan Rice menambah kebolosan tuan rumah dengan gol minit ke- 65.

Tiga mata diraih di laman Hammers itu membolehkan Gunners terus menghimpit The Citizens dan The Reds dengan 52 mata selepas mengharungi 24 perlawanan.

Manchsester City pula di kedudukan kedua kurang satu perlawanan mengumpul 52 mata manakala Liverpool masih gah memimpin liga dengan 54 mata lebih satu perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir Arsenal mencatat kemenangan liga enam gol di tempat lawan pada Disember 1935.


Senarai kemenangan paling besar kelab Liga Perdana Inggeris di tempat lawan:

Ogos 2010:

Wigan 0-6 Chelsea

April 2013:

Newcastle United 0-6 Liverpool

Februari 2016:

Aston Villa 0-6 Liverpool

September 2017:

Watford 0-6 Manchester City

April 2022:

Southampton 0-6 Chelsea

Februari 2024:

West Ham United 0-6 Arsenal

April 1995:

Sheffield Wednesday 1-7 Nottingham Forest

Mei 2017:

Hull City 1-7 Tottenham

Disember 2020:

Crystal Palace 0-7 Liverpool

Februari 1999:

Nottingham Forest 1-8 Manchester United

Oktober 2019:

Southampton 0-9 Leicester City