Wanita dipukul, diugut bunuh angkara suami cemburu

Seorang wanita dipukul dan diugut bunuh oleh suaminya dalam kejadian di Kampung Siaun di Menumbok, di sini pada Sabtu. Gambar hiasan
Seorang wanita dipukul dan diugut bunuh oleh suaminya dalam kejadian di Kampung Siaun di Menumbok, di sini pada Sabtu. Gambar hiasan
A
A
A

BEAUFORT - Dituduh ada hubungan dengan lelaki lain punca seorang wanita dipukul dan diugut bunuh oleh suaminya dalam kejadian di Kampung Siaun di Menumbok, di sini pada Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan mangsa, 34, cedera di bahagian muka akibat dipukul suspek berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, suspek berjaya ditahan pada hari sama selepas mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Menumbok di sebuah rumah tidak bernombor di sini.

"Menurut siasatan awal, kejadian berlaku di dalam kereta di hadapan rumah mereka di mana suspek secara tiba-tiba mengamuk dan memukul mangsa di bahagian muka.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan dan luka di bawah kening. Suspek juga turut mengugut untuk membunuh mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya lagi, suspek bertindak demikian disebabkan cemburu dan menuduh isterinya ada hubungan dengan lelaki lain.

"Suspek direman selama empat hari bermula esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya.

Artikel Berkaitan: