Jadi gelandangan, nasib Ross Ariffin dapat perhatian

Fahmi (kanan) menenangkan Ross Ariffin ketika pertemuan dengan komposer tersebut. Foto Facebook Fahmi Fadzil
Fahmi (kanan) menenangkan Ross Ariffin ketika pertemuan dengan komposer tersebut. Foto Facebook Fahmi Fadzil
A
A
A

NASIB komposer terkenal satu ketika dahulu, Roslan Ariffin Jamil yang menjadi gelandangan lebih tiga tahun sehingga tular di media sosial, mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang tampil memberikan bantuan bagi mendapatkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuknya berteduh.

Fahmi berkata, rumah berkenan hasil permohonan yang diajukan beliau sendiri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

"Saya terbaca mengenai kisah Ross menjadi gelandangan di media sosial dan saya terpanggil untuk mengenali beliau dengan lebih dekat untuk cuba membantu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi berkata, semasa pertemuan bersama komposer itu, beliau tersentuh dengan segala pengalaman pahit dan kesukaran yang dialami Roslan, 62, atau lebih dikenali sebagai Ross Ariffin termasuk ketika terpaksa mengutip sisa-sisa makanan yang ditinggalkan di atas meja, malah kadangkala berlapar kerana tiada makanan.

Beliau juga kagum kerana komposer yang pernah mencipta lagu untuk artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Jacklyn Victor dan Fauziah Latiff itu, masih mempunyai minat mendalam untuk kembali berkarya.

"Ross mempunyai bakat yang sangat unik dan berupaya untuk kembali menjadi sebahagian daripada keluarga besar industri hiburan negara.

"Saya anggap ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab saya untuk membantu penggiat seni di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan meneliti beberapa perkara dan cuba membantu untuk komposer berkenaan kembali berkarya termasuk mengadakan perbincangan bersama RTM dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail bagi membolehkan Ross Ariffin bekerjasama dalam penciptaan lagu baharu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan itu, Fahmi turut menzahirkan perasaan terharu apabila melihat komposer berkenaan masih berbakat bermain alat muzik selepas berpeluang duduk di depan sebuah Grand Piano.

"Selagi mana saya berperanan sebagai menteri dan kerajaan Madani masih mentadbir, percayalah bahawa kami akan berusaha sedaya upaya (membantu) para seniman,” katanya.

Ross Ariffin pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola dan pernah aktif sebagai pemuzik undangan. - Bernama