Polis giat kesan pemandu khianat pecahkan cermin kereta

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: M Kumar)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: M Kumar)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis giat mengesan pemandu kenderaan dengan nombor pendaftaran SKU6892L bagi membantu siasatan susulan kejadian khianat memecahkan cermin kereta pemandu lain di kilometer (KM) 139.6 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Utara, pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden berkenaan sekitar jam 2.36 petang Sabtu.

Menurutnya, video berdurasi 54 saat berhubung insiden terbabit turut tular di media sosial dengan dikongsikan pemilik akaun Facebook Apple Kenzo.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan mangsa yang menghalang kenderaan ketika melalui lorong kecemasan.

"Ini menyebabkan suspek merasa tidak puas hati lalu keluar dari kenderaan dan memecahkan cermin belakang kereta mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kes diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Siasatan juga dijalankan secara selari dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, Kumar meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga dinasihatkan agar menjadi pengguna jalan raya yang bijak dan bertimbang rasa untuk menjamin keselamatan lalu lintas terutama di musim perayaan," katanya.