Kemelut PAFA selesai, pendaftaran tidak terbatal

Mohd Azhar (dua dari kiri) menerima surat berkaitan rayuan pembatalan pendaftaran PAFA daripada Suhardi (dua dari kanan).
Mohd Azhar (dua dari kiri) menerima surat berkaitan rayuan pembatalan pendaftaran PAFA daripada Suhardi (dua dari kanan).
A
A
A

IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menarik nafas lega apabila rayuan bagi menghalang pembatalan pendaftaran badan induk bola sepak negeri itu diterima dan diluluskan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Presidennya, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, perkara itu disahkan menerusi surat Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) bertarikh 9 Februari 2024.

Menurutnya, melalui surat itu, Hannah telah menerima rayuan dan mengekalkan pendaftaran PAFA di bawah Seksyen 21(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan keputusan tersebut muktamad.

"Saya bagi pihak Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif PAFA ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Hannah di atas kebijaksanaan beliau dalam menyelesaikan isu kepimpinan PAFA.

"Ucapan terima kasih dan penghargaan kepada PJS, Suhardi Alias serta seluruh warga kerja PJS," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohd Azhar berkata, penghargaan juga diberikan buat Jawatankuasa ad hoc yang dibentuk diketuai oleh Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan kerana telah bertindak sebagai moderator kepada proses rayuan tersebut.

Jelasnya, kongres luar biasa pada 21 Disember 2023 bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang diselia oleh Jawatankuasa ad hoc berjalan dengan sempurna sehingga berjaya mendapat pengiktirafan dan akuan daripada menteri berkenaan.

Menurutnya, PAFA juga turut menghargai sokongan diberikan oleh kerajaan negeri melalui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah selain Presiden Persatuan Bolasepak Daerah-Daerah serta ahli jawatankuasa yang terlibat menjayakan usaha tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata, perancangan selepas ini akan tertumpu kepada usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak di Perak.

"Saya juga akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PAFA dalam masa terdekat berfokus kepada hal ehwal tadbir urus dan tatakelola PAFA yang perlu diselesaikan.

"Kita juga akan merancang dan menyusun atur penstrukturan semula dalam usaha untuk mengembalikan imej dan kredibiliti PAFA serta memeriahkan semula arena sukan bola sepak di negeri Perak," katanya.

Sementara itu, Mohd Azhar turut mengumumkan pemilihan Datuk Sham Mat Sahat sebagai Timbalan Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif PAFA 2024 selepas mendapat kepercayaan oleh ahli gabungan.

Pendaftaran PAFA sebelum ini dibatalkan namun di bawah Akta 576 Akta Pembangunan Sukan 1997 menteri mempunyai kuasa di bawah Subseksyen 21 (1) menubuhkan jawatankuasa ad hoc untuk selesaikan kemelut PAFA bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Pada 7 Mac 2022 lalu, PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS berikutan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu.

Ini berikutan wujud dua kumpulan yang mendakwa masing-masing sebagai jawatankuasa sah badan induk itu.