Dokumentari baharu MH370 dedah 'wanita misteri'

Pelbagai teori tentang lokasi sebenar pesawat MH370 tersebut didedahkan sebelum ini. - Foto Agensi
Pelbagai teori tentang lokasi sebenar pesawat MH370 tersebut didedahkan sebelum ini. - Foto Agensi
A
A
A

SYDNEY - Sebuah dokumentari terbaharu mendakwa berjaya menjejaki 'wanita misteri' yang dapat membongkar kehilangan pesawat MH370.

Menerusi pratonton MH370: The Untold Story hasil siri siasatan dilakukan Sky News Australia yang akan ditayangkan pada 19 dan 20 Februari depan, wanita terbabit dikatakan ada menghantar mesej kepada seorang lelaki di dalam pesawat tersebut dua hari sebelum ia hilang pada 8 Mac 2014.

Kira-kira enam tahun lalu, pihak berkuasa pertama kali menyiasat wanita misteri itu yang didakwa membuat panggilan selama dua minit kepada juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah sebelum pesawat itu berlepas menggunakan kad SIM yang didaftarkan dengan menggunakan identiti palsu.

ARTIKEL BERKAITAN: Genap 5 tahun, MH370 kekal misteri

'Seseorang' kawal pesawat MH370 hingga akhir penerbangan

Ia adalah panggilan terakhir yang dibuat atau diterima daripada telefon bimbit milik juruterbang terbabit sebelum pesawat Boeing 777 itu meninggalkan Kuala Lumpur.

Nombor telefon bimbit tersebut turut dikesan di sebuah kedai di Kuala Lumpur dan usaha telah dilancarkan untuk mengesan wanita yang membuat panggilan terbabit berikutan pihak berkuasa bimbang kemungkinan ada kaitan dengan kumpulan pengganas yang sering menggunakan kad SIM tidak dapat dijejaki.

Ia bagaimanapun tidak jelas sama ada dua wanita tersebut adalah individu sama.

Artikel Berkaitan:

Selepas hampir enam tahun kehilangan MH370, dokumentari siasatan terbaharu itu berjanji untuk mendedahkan bukti yang dikumpulkan termasuk lokasi di mana pakar percaya bangkai pesawat itu boleh ditemui.

Wartawan Sky News Australia, Peter Stefanovic mendakwa pihak berkuasa tahu tentang perkara sebenar yang berlaku dalam tempoh seminggu selepas ia hilang, namun tidak mendedahkan kepada umum.

Stefanovic turut meletakkan tuduhan secara terus kepada bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.

Sehingga kini, MH370 terus menjadi misteri penerbangan terbesar dengan mencatatkan kos operasi carian paling tinggi dalam sejarah. - Agensi