Polis rampas 11 pump gun, petugas keselamatan bawa pulang

Hussein (tiga dari kanan) menunjukkan senjata api jenis pump gun dan peluru yang dirampas dalam dua serbuan dilakukan di rumah petugas pengawal keselamatan di Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini. Foto HISYAMUDDIN AYU
Hussein (tiga dari kanan) menunjukkan senjata api jenis pump gun dan peluru yang dirampas dalam dua serbuan dilakukan di rumah petugas pengawal keselamatan di Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini. Foto HISYAMUDDIN AYU
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 11 pucuk senjata api jenis 'pump gun' daripada sebuah syarikat kawalan keselamatan ekoran pelanggaran dan kegagalan mematuhi peraturan ditetapkan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua senjata api tersebut dirampas semasa serbuan dijalankan di kediaman petugas-petugas pengawal keselamatan di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Selangor pada 6 dan 7 Februari lalu.

Beliau berkata, dua serbuan tersebut dilakukan oleh Pasukan Penguatkuasaan Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman bersama Unit Penguatkuasaan Lesen Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Kata beliau, semasa serbuan dibuat, senjata api ditemukan berada di dalam almari, diletakkan di bawah katil serta disimpan dalam kereta.

Operasi dilakukan selepas pasukan risikan melakukan intipan selama seminggu ke atas anggota keselamatan berkenaan. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
Operasi dilakukan selepas pasukan risikan melakukan intipan selama seminggu ke atas anggota keselamatan berkenaan. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.

"Sepatutnya senjata api yang digunakan oleh petugas keselamatan harus diserahkan kembali kepada syarikat keselamatan setelah tamat tugas.

"Selepas diserahkan kepada syarikat keselamatan, senjata api tersebut perlu disimpan dalam bilik kebal yang disediakan dan bukannya dibawa balik oleh pengawal keselamatan yang telah tamat tugas," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, pihaknya turut merampas 55 butir peluru dan sebuah kereta dalam serbuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, seramai 11 pengawal keselamatan warga tempatan berusia 25 hingga 53 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, operasi tersebut dilakukan selepas pasukan risikan melakukan intipan selama seminggu ke atas anggota keselamatan yang membawa pulang senjata api ke kediaman masing-masing.

Hussein (kanan) menunjukkan cara-cara senjata api jenis pump gun dibawa balik oleh petugas pengawal keselamatan selepas tamat bertugas di Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Selangor.
Foto HISYAMUDDIN AYUB
Hussein (kanan) menunjukkan cara-cara senjata api jenis pump gun dibawa balik oleh petugas pengawal keselamatan selepas tamat bertugas di Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Selangor. Foto HISYAMUDDIN AYUB

Jelas beliau, kesalahan yang dilakukan itu dipercayai telah berlarutan selama lebih kurang dua tahun termasuk ada pengawal keselamatan membawa pulang senjata api menggunakan motosikal.

Beliau berkata, syarikat kawalan keselamatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu dipercayai telah melakukan lima kesalahan sebelum ini sejak 2015.

"Kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960 kerana melanggar syarat lesen.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000.

"Jika sabit kesalahan, lesen syarikat kawalan keselamatan tersebut boleh dibatalkan," ujarnya.