Libas abang dengan parang, kelindan lori ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Pertengkaran adik-beradik berhubung masalah kewangan berakhir dengan kecederaan parah apabila seorang daripadanya ditetak pada kaki.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, insiden berlaku jam 8.30 pagi di Bandar Baru Ampang dekat sini pada Khamis.

Menurutnya, polis menerima panggilan jam 9.14 pagi daripada seorang wanita tempatan maklumkan terdapat pergaduhan adik-beradik.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 25 tahun telah bertengkar dengan suspek yang berusia 20 tahun.

"Pertengkaran itu telah menyebabkan suspek bertindak mengambil sebilah parang dan melibas ke arah kaki mangsa yang merupakan abang kandungnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Azam berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di betis dan siku kanan.

Ekoran kejadian itu katanya, sepasukan anggota polis dari Ampang Jaya telah menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai kelindan lori di kawasan Bandar Baru Ampang dan merampas sebilah pisau 30 sentimeter bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dadah, manakala semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau kesalahan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Motif kejadian berpunca daripada masalah kewangan," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Ampang pada Jumaat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

"Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

"Pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan yang boleh mendatangkan cedera parah," ujarnya.