[VIDEO] Dividen Tabung Haji dijangka umum April ini - Mohd Na'im

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman dan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2023 dijangka pada April ini iaitu setelah audit penuh dijalankan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan teguran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini agar audit dijalankan sebelum agihan dividen.

"Sekarang adalah masa pengauditan dijalankan, jadi insya-ALLAH menjelang April nanti kita akan umumkan berapa dividennya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi asnaf di sini malam ini.

Mohd Na'im - Foto Bernama
Mohd Na'im - Foto Bernama

Ditanya jika agihan pada tahun ini akan membawa khabar gembira kepada pendeposit, Na'im meluahkan harapan supaya pihak pengurusan tertinggi TH dapat mencari jalan terbaik bagi mengimbangi pemberian dividen yang munasabah tanpa menjejaskan bantuan kewangan kepada jemaah haji dalam golongan B40 dan M40.

"Sebab ia tabung yang sama kalau kita berikan dividen yang tinggi ia akan mengurangkan bantuan kewangan kepada jemaah haji B40 dan M40, jadi pihak pengurusan tertinggi TH, saya harap dapat memikirkan dan mencari jalan yang terbaik," katanya.

Mohd Na'im (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan Bantuan Kecemasan MAIWP kepada Mohamad Salman Abdullah, 23, (dua, kanan) dan ibunya Saniah Taib, 54, pada Program Ziarah malam ini. Foto Bernama
Mohd Na'im (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan Bantuan Kecemasan MAIWP kepada Mohamad Salman Abdullah, 23, (dua, kanan) dan ibunya Saniah Taib, 54, pada Program Ziarah malam ini. Foto Bernama

Sebelum ini, TH mengumumkan agihan keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.10 peratus setelah mengambil kira zakat 2.57 peratus melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion kepada lebih 8.7 juta pendeposit. - Bernama

Artikel Berkaitan: