Isu kenderaan menteri ekori ambulans: Polis ambil keterangan pemandu

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Polis telah mengambil keterangan pemandu kenderaan rasmi menteri yang mengekori rapat ambulans yang dalam kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, pada 3 Februari lepas.

Insiden yang berlaku sewaktu kejadian kemalangan berkenaan tular di media sosial dan menjadi perhatian orang ramai.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, satu laporan polis telah dibuat bagi menyiasat kejadian terbabit pada hari yang sama.

"Siasatan awal mendapati pemandu terbabit memang bekerja dengan seorang menteri dan bersama menteri yang dalam perjalanan ke satu program kebajikan di Rumah Pangsa Jalan Silang, Ipoh.

"Namun, difahamkan menteri terbabit tidak sempat menghadiri program itu kerana kesesakan yang berlaku dan kita telah ambil keterangan daripada pemandu terbabit hari ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Yusri menambah, pihaknya juga memanggil saksi awam yang lain bagi membantu siasatan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup pihak PLUS dan rakaman papan pemuka ambulans bagi melengkapkan siasatan.

Menurutnya kes disiasat di bawah Peraturan 9 (2), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Terdahulu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk tiga treler di laluan PLUS antara Gopeng-Simpang Pulai yang berlaku di Kilometer 288.1 pada 3 Februari lepas, aliran trafik kenderaan dilaporkan sesak lebih lapan jam malah langsung terhenti hampir enam jam. - Bernama