Baru dua hari pecah masuk premis, suspek dah dicekup

Seorang lelaki dan wanita ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memecah masuk premis di sekitar daerah Beaufort pada Selasa lalu.
Seorang lelaki dan wanita ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memecah masuk premis di sekitar daerah Beaufort pada Selasa lalu.
A
A
A

BEAUFORT - Seorang lelaki dan wanita ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memecah masuk premis di sekitar daerah ini pada Selasa lalu.

Suspek masing-masing berusia 20-an itu ditahan di Menumbok menerusi satu serbuan yang dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, kejadian pecah masuk berlaku selama dua hari membabitkan tiga premis di daerah ini.

"Kejadian pecah masuk premis berlaku sekitar jam 6.45 pagi hingga 7.50 pagi dan didapati kawasan dalam premis tersebut berselerak.

"Satu telefon bimbit, beberapa bungkusan kiriman, komputer riba dan tiga mesin pengimbas barang telah hilang dicuri di kedua premis tersebut.

"Keesokan harinya juga satu lagi kejadian pecah masuk premis berlaku di Kuala Penyu dan dipercayai dilakukan oleh individu yang sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Susulan daripada tangkapan itu, kedua-dua suspek membuat pengakuan awal memecah masuk beberapa premis di daerah ini bersama dua lagi rakan sejenayah mereka yang masih bebas.

"Pihak polis turut melakukan rampasan ke atas kenderaan dan peralatan yang disyaki digunakan oleh suspek untuk tujuan pecah masuk kedai.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya, setakat ini berjaya menyelesaikan tiga kes pecah masuk premis di Pekan Beaufort dan Pekan Kuala Penyu," katanya.

Sehubungan itu, kedua-dua suspek tersebut ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Usaha mengesan dua lagi suspek juga sedang giat dijalankan," katanya.