X

Kindly register in order to view this article
!

Penjualan air zamzam undang eksploitasi agama: Mufti Perlis

MOHD ASRI
A
A

KANGAR - Penjualan air zamzam di negara ini dibimbangi boleh mengundang eksploitasi atas nama Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sejak dahulu penguat kuasa agama Perlis tidak membenarkan penjualan sebarang produk menggunakan nama Islam dijual.

Menurutnya, jika ada penceramah mengambil kesempatan menjual produk sedemikian, pihak berkuasa akan menamatkan tauliahnya serta-merta.

"Tindakan penjualan seperti ini boleh mengundang penipuan terutamanya jika ia membabitkan air zamzam.

"Sampai ada yang mendakwa air yang mereka jual itu mempunyai nilai pH yang sama dengan air zamzam dan ini boleh dikatakan sebagai penipuan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian KFC Pandu Lalu Kangar hari ini.

Pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan restoran KFC Pandu Lalu yang pertama di negeri ini dengan ditemani Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ditanya mengenai pengharaman penjualan air zamzam, Mohd Asri berpendapat bahawa air berkenaan diambil secara percuma dari Arab dan jika ada pihak mengenakan bayaran, ia mungkin itu adalah cas pengangkutan dan kos membawa masuk ke dalam negara.

"Tetapi jika ia dieksploitasi dengan dijual dengan keuntungan yang melampau, sehingga beralasan bahawa air terbabit sudah dijampi atau sebagainya, ini yang tidak boleh dibiarkan," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan melarang rakyat dalam negara ini daripada menjual air zamzam dan individu yang didapati menjualnya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN Penjual air zamzam boleh didenda, dipenjara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus