DJ Dave derma kepada lima pertubuhan keagamaan

DJ Dave kerap terlibat dengan program bagi membantu mereka yang memerlukan.
DJ Dave kerap terlibat dengan program bagi membantu mereka yang memerlukan.
A
A
A

PENYANYI legenda, DJ Dave atau nama sebenar, Datuk Irwan Shah Abdullah bermurah hati menyumbang kembali hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 yang diterima daripada Rotary Club Ara Damansara (RCAD) kepada lima pertubuhan agama.

Wang tersebut adalah ganjaran yang diberikan RCAD bagi menghargai sumbangan beliau dalam projek lagu patriotik berjudul Setia Perpaduan yang diilhamkan mantan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tahun lalu.

Lima pertubuhan keagamaan itu adalah Surau An-Nur, Bandar Menjalara; Canossa Convent Welfare Centre, Jinjang Utara; Choong Wan Koong Temple, Pudu; Persatuan Pengurusan Kuil Subramania Swami, Shah Alam; dan Gurdwara Sahib Selayang, di mana setiap satunya menerima RM2,000.

Mengulas keputusannya itu, DJ Dave berkata, apa yang diharapkan tindakannya itu dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjalani kehidupan muhibah sebagai rakyat Malaysia sejati.

"Sebagai rakyat Malaysia prihatin, saya mendermakan anugerah wang tunai ini kepada pelbagai badan kebajikan sebagai tanda perpaduan," katanya.

Presiden RCAD, David Cheah Yik Qin tidak menyangka DJ Dave memilih mengagihkan hadiah kemenangan kepada pengurusan surau, badan amal kendalian gereja, kuil Buddha dan Hindu serta gurdhwara Sikh.

Justeru, pada majlis makan malam RCAD, DJ Dave dikejutkan dengan hadiah lebih bernilai daripada penaja acara iaitu RENN Asia Wellness.

"DJ Dave pemurah, oleh itu, penaja buat kejutan dengan menghadiahkan pakej kesihatan jantung bernilai RM20,888 sepanjang setahun.

Artikel Berkaitan:

"Kami berterima kasih kepada RENN Asia Wellness atas sokongan bermakna ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RENN Asia Wellness, Jonathan Chew menyifatkan usaha DJ Dave memimpin projek lagu perpaduan kebangsaan cukup mengagumkan dan wajar diiktiraf.

"Kami terharu DJ Dave mengagihkan hadiah wang tunai yang diterima daripada RCAD kepada lima badan keagamaan di Malaysia.

"Orang berbudi, kita berbahasa, maka wajarlah untuk kami balas budi beliau.

"Kami tawarkan pakej kesihatan jantung premium daripada syarikat kami yang merangkumi sesi 'arterial stiffness analysis', profil asid deoksiribonukleik (DNA) dan rawatan Enhanced External Counter Pulsation (EECP) selama setahun selain pasukan kesihatan khas," katanya.