Pengusiran petani di Kanthan: PKNP saman Pengerusi PSM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memfailkan saman terhadap Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Micheal Jeyakumar Devaraj atas dakwaan fitnah pada sidang media berhubung pengusiran sekumpulan petani di kawasan tanah pertanian di Kanthan, Ipoh tahun lepas.

PKNP selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi firma guaman Mah Weng Kwai & Associates di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Januari lepas dengan menamakan Jeyakumar sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan diperoleh media, PKNP mendakwa defendan mengadakan sidang media pada 1 November 2023 dan video sidang media tersebut diterbitkan semula pada hari sama dalam akaun Facebook bernama "Parti Sosialis Malaysia", TikTok "partisosialis”, Instagram "Parti Sosialis Malaysia” dan akaun X "@partisosialis”.

Dakwa PKNP, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya plaintif mengingkari perintah penggantungan interim oleh mahkamah, mengusir petani di tanah itu walaupun terdapat perintah mahkamah serta tidak mempunyai integriti dan beroperasi melebihi undang-undang.

Menurut PKNP, sekumpulan petani memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 24 Oktober 2023, memohon perintah agar mahkamah menghalang mereka diusir daripada tanah tersebut dan mahkamah membenarkan penangguhan sementara pengusiran itu sehingga semakan kehakiman tersebut selesai.

PKNP berkata, petani berkenaan kemudian memfailkan permohonan ex-parte pada 6 November 2023 di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk memohon kebenaran bagi mendapatkan perintah komital terhadap plaintif kerana tidak mematuhi perintah penggantungan, namun plaintif membantah permohonan tersebut.

"Pada 4 Januari lalu, Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk mendapatkan perintah komital dan memutuskan bahawa PKNP tidak melanggar terma-terma perintah penggantungan interim,” jelas PKNP dalam pernyataan tuntutan itu.

Plaintif berkata, kenyataan fitnah itu menyebabkan bakal pelabur, rakan kongsi perniagaan serta rakyat Perak hilang keyakinan terhadap PKNP, PKNP yang berbangga dengan pembangunan sosioekonomi menerima tindak balas negatif selain PKNP hilang kelebihan daya saing berbanding syarikat lain di Perak.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, PKNP menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta suatu perintah supaya defendan dan PSM mengeluarkan kenyataan itu serta membuat permohonan maaf kepada plaintif dengan mengakui bahawa kenyataan tersebut adalah fitnah dalam semua akaun media sosial defendan dan PSM yang akan dikekalkan selama-lamanya.

PKNP juga memohon injunksi untuk defendan membuang kesemua video sidang media dan penerbitan semula di media sosial selain perintah untuk menghalang Jeyakumar dan PSM mengulangi, menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kenyataan yang sama. - Bernama