Pegawai polis cedera, anak maut ketika dalam perjalanan ke tadika

Sebuah MPV yang dipercayai dilanggar motosikal ditunggang dua beranak di MRR2, Kuala Lumpur pada Isnin.
Sebuah MPV yang dipercayai dilanggar motosikal ditunggang dua beranak di MRR2, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2), di sini pada Isnin, ketika perjalanan ke tadika bersama bapanya yang juga pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal bapanya.

Menurutnya, sejurus sampai di lokasi kejadian, motosikal terbabit telah melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Expander kira-kira jam 8.50 pagi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa MPV terbabit sedang bergerak lurus di lorong paling kiri manakala aliran trafik ketika itu bergerak perlahan.

“Sampai di tempat kejadian MPV terbabit telah dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal jenis Honda yang dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang berusia 42 tahun cedera patah tangan kanan dan kiri, manakala anaknya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Katanya, pemandu kereta ialah wanita berusia 45 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Balai Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau balai berhampiran,” katanya.

Artikel Berkaitan: