[VIDEO] Malaysia import bawang dari China, Thailand dan Pakistan

A
A
A

TANGKAK - Kerajaan mendapatkan bekalan bawang dari China, Thailand dan Pakistan susulan keputusan India melarang eksport sayuran itu hingga Mac tahun depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan bawang dalam negara kini masih mencukupi.

"Negara tidak ada mengalami kekurangan bekalan bawang, cuma harganya kini turun naik di pasaran. Negara boleh mendapatkan bekalan bawang daripada negara pengeluar lain.

"Sekarang ini, bekalan bawang diimport dari China, Thailand dan Pakistan bagi menampung keperluan negara," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sawah Ring, di sini pada Isnin.

Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan insentif kepada pesawah di Sawah Ring, pada Isnin.
Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan insentif kepada pesawah di Sawah Ring, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip.

Menurut Mohamad, sekatan import bawang dari India bersifat sementara dan bekalan bawang akan diperoleh semula daripada negara tersebut.

"Larangan import bawang dari India memang bersifat sementara seperti larangan import bekalan beras putih dari India sebelum ini, di mana selepas rundingan India setuju jual 170,000 tan metrik beras kepada Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kadang kala India berdepan masalah dalam negara mereka. Kita perlu hormat kerana larangan eksport yang dilakukan itu untuk keperluan rakyat dan negara mereka," katanya.

Pada 8 Disember lepas, India yang menyumbang sebanyak 36 peratus kepada import bawang ke Malaysia telah melarang eksport bawang sehingga Mac tahun depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna di negara itu.

Menurut Direktorat Perdagangan Luar Negeri India, ia susulan eksport bawang dipindahkan daripada kategori bebas kepada larangan hingga 31 Mac 2024.