Anwar nafi Kerajaan Perpaduan longgar dalam permasalahan rasuah

Anwar (dua dari kanan) beredar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri pada Isnin. Foto Bernama
Anwar (dua dari kanan) beredar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menafikan dakwaan Kerajaan Perpaduan tidak tegas terhadap permasalahan rasuah susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Isu yang dibangkitkan konon kita longgar terhadap permasalah rasuah, itu tidak benar," katanya.

Beliau berkata, proses badan kehakiman itu diteruskan dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memberi kata dua kepada beliau berhubung keputusan terhadap Najib itu.

"Ada hak dia (Najib) atau parti, supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan beri pertimbangan," katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.

Anwar berkata, banyak perkara yang perlu diutamakan Kerajaan Perpaduan antaranya berhubung soal ekonomi dan penyelarasan gaji penjawat awam.

Perdana Menteri berkata soal tatakelola dan penegasan terhadap membanteras rasuah itu dilaksanakan secara menyeluruh dan pentadbiran hari ini, tidak ada langsung pendirian untuk berundur.

"Paling kuat saya diserang apabila mengarahkan semua agensi tegas supaya dapat selamatkan negara dari kecurangan pemimpin-pemimpin, menggeledah dan memunggah kekayaan luar biasa," katanya.

Beliau berkata, penjawat awam perlu memberi kerjasama sepenuhnya dalam memerangi rasuah untuk menyelamatkan negara daripada pelbagai salah guna kuasa dan pemunggahan kekayaan supaya dapat meningkatkan semula keyakinan rakyat serta hasil negara.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dapat selamatkan RM10 bilion hingga RM20 bilion, bukan untuk perbaiki rumah Perdana Menteri atau elaunnya.

"Apa yang kita dapat daripada pulangan itu, kita kembalikan kepada rakyat, noktahkan kemiskinan, beri pendidikan bermutu, selamatkan anak-anak daripada semua kaum, agama, wilayah. Jadi tidak lagi kita bergaduh soal peruntukan kecil," katanya.

Beliau mengakui kehilangan hasil dari ketirisan minyak mentah dan diesel masih belum terkawal sepenuhnya malah terdapat kelompok kecil di peringkat tertentu termasuk di sempadan, pelabuhan dan bahagian percukaian masih meneruskan aktiviti rasuah.

Anwar berkata, tekad kerajaan dapat dilihat dengan tindakan tegas diambil oleh badan penguat kuasa antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam perkara memerangi rasuah dan penyelewengan.

Beliau berkata, sebagai contoh, tindakan SPRM yang membuka kertas siasatan terhadap isu melibatkan Spanco Sdn Bhd, sebuah syarikat tunggal yang memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan.

"Tindakan, sikap saya keras terhadap Spanco itu sejak saya jadi Menteri Kewangan dahulu.

"Jadi siasat, saya tidak tahu di mana salahnya tetapi saya tahu peraturan itu tidak betul, saya tahu ia merugikan negara, saya tahu ia tidak menyenangkan penjawat awam tetapi kita lesu, tidak berupaya berbuat apa-apa kerana tidak ada ketegasan dan tekad politik untuk bertindak," katanya.

Untuk rekod sejak 1993, Spanco Sdn Bhd memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan, namun apabila kontrak tamat pada 2019, tender terbuka dilancarkan untuk penganugerahan kontrak seterusnya.

Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsesi dan memperoleh kontrak itu melalui surat hasrat (LOI) pada tahun itu, bagaimanapun, LOI ditamatkan pada 2020 dan tender dianugerahkan kepada Spanco.

Pada Julai tahun lepas, pengasas Berjaya Tan Sri Vincent Tan menfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan dan Spanco berhubung LOI yang ditamatkan dan mendakwa kontrak itu dianugerahkan kepada Spanco walaupun harga yang ditawarkan syarikat berkenaan lebih tinggi.

Tindakan itu mendorong SPRM membuka siasatan terhadap isu terbabit. - Bernama

@sinarharianonline

Anwar nafi Kerajaan Perpaduan longgar dalam permasalahan rasuah #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #PM #Anwar #Kerajaan #Rasuah #UMNO #Zahid #Presiden #Nasional #Najib #Kehakiman #Politik

Ring (Originally Performed by Selena Gomez) [Instrumental Version] - Hit The Button Karaoke