Tidak perlu terburu-buru keluar fatwa hukum makan daging kultur

Wan Salim (gambar kecil) berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang berpandangan tidak perlu terburu-buru mengeluarkan fatwa tentang hukum makan daging kultur sehingga diketahui secara jelas sumber sel tunjang atau penumbuhan tisu daging tersebut. Gambar hiasan
Wan Salim (gambar kecil) berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang berpandangan tidak perlu terburu-buru mengeluarkan fatwa tentang hukum makan daging kultur sehingga diketahui secara jelas sumber sel tunjang atau penumbuhan tisu daging tersebut. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang berpandangan tidak perlu terburu-buru mengeluarkan fatwa tentang hukum makan daging kultur sehingga diketahui secara jelas sumber sel tunjang atau penumbuhan tisu daging tersebut.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, jawatankuasa itu juga akan memastikan terlebih dahulu bahan-bahan yang ditambah untuk penghasilan daging kultur itu serta kesannya ke atas kesihatan manusia sebelum mengeluarkan fatwa.

"Fatwa dalam isu sedemikian perlu didasarkan kepada beberapa kaedah fiqh seperti 'Ad-dharar yuzal' (menghindari kemudaratan), 'dar’ul mafsadah muqaddam ‘ala jalbil maslahah' (penyingkir kerosakan didahulukan daripada memperoleh kepentingan) dan sebagainya.

"Di samping itu, kita juga perlu menunggu fatwa atau pandangan daripada institusi-institusi fatwa berwibawa di peringkat global tentang isu tersebut seperti Asembli Fatwa Sedunia, Lembaga Fatwa Mesir di Universiti al-Azhar dan seumpamanya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kata Wan Salim lagi, buat masa kini, Malaysia masih belum terdesak untuk mengeluarkan fatwa dalam isu berkenaan.

"Saya rasa, dalam konteks Malaysia, kita masih belum terdesak untuk mengeluarkan fatwa yang muktamad dalam isu daging kultur ini," tambahnya.

Pada Sabtu, sebuah agensi berita Singapura melaporkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendapati bahawa daging kultur secara amnya halal atau dibenarkan dimakan oleh orang Islam sekiranya ia memenuhi syarat.

Keputusan mengeluarkan fatwa tersebut sejajar dengan peningkatan penekanan sejagat terhadap pengeluaran makanan mampan.

Pada masa sama, ia juga bertujuan menangani kebimbangan masyarakat Islam mengenai memakan produk makanan baru seperti daging kultur.

Artikel Berkaitan: