Juruukur didakwa terima rasuah wang, motor Ysuku

Tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad
Tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang juruukur bahan kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai dan motosikal.

Malike Mohamed, 52, membuat pengakuan itu selepas sembilan pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga lapan, dia didakwa telah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM14,500 melalui akaun Bank Islam daripada Azman Yusof sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Perkara itu bagi melancarkan proses tuntutan bayaran interim yang dibuat oleh syarikat AMZ Sepakat Sdn Bhd kepada pihak UniSZA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam di Kuala Terengganu antara 15 Mei 2019 sehingga 6 Julai 2020.

Seorang juruukur bahan kanan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Ahad, atas pertuduhan menerima rasuah.
Seorang juruukur bahan kanan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Ahad, atas pertuduhan menerima rasuah.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kesembilan, dia didakwa telah menerima sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang mana tertuduh mengetahui Azman ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya sendiri.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Mengabang Tengah, Kuala Terengganu pada Ogos 2019.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-keduanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dan Pegawai Pendakwa Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar mahkamah dapat memberi kadar ikat jamin yang lebih munasabah memandangkan dia perlu menyara isteri dan ahli keluarganya.

"Saya mempunyai isteri yang tidak bekerja dan perlu menanggung tiga orang anak di mana dua daripadanya masih belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mana memerlukan wang perbelanjaan dalam kehidupan mereka.

"Saya juga bergilir-gilir menjaga ibu mentua yang mempunyai masalah kesihatan iaitu menghidap sakit jantung dan kencing manis di mana memerlukan rawatan rapi," ujarnya.

Selepas mendengar permohonan, Hakim Mohd Azhar kekalkan jumlah jaminan dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu serahan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 10 Mac depan untuk sebutan semula kes dan urus dokumen bagi perbicaraan.