Lelaki cuba lari selepas tikam rakan diberkas

Mangsa maut ditikam dalam kejadian di belakang sebuah restoran di Jalan Peel dekat sini pada Khamis
Mangsa maut ditikam dalam kejadian di belakang sebuah restoran di Jalan Peel dekat sini pada Khamis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki dipercayai cuba untuk melarikan diri selepas menikam sehingga maut rakannya dalam kejadian di belakang sebuah restoran di Jalan Peel dekat sini tidak kesampaian apabila diberkas pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Norhisham Mustapar berkata, suspek yang merupakan warga tempatan itu diberkas di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pada hari sama.

"Maklumat sebelum itu diterima kira-kira jam 3.20 petang berhubung kejadian pertengkaran melibatkan dua individu berumur 22 hingga 28 tahun sehingga mengakibatkan kecederaan di lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati suspek bertindak mengambil serpihan kaca lampu dan telah menikam di bahagian leher mangsa menyebabkan mangsa luka parah," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, suspek kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

"Suspek bagaimanapun berjaya diberkas kira-kira jam 2.30 petang," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman enam hari untuk siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.