Pemandu lori, pengusaha stesen minyak ditahan seleweng diesel

Pegawai KPDN memeriksa bahagian muatan lori dan menemukan cecair disyaki diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar, Manjung. Foto ihsan KPDN Perak
Pegawai KPDN memeriksa bahagian muatan lori dan menemukan cecair disyaki diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar, Manjung. Foto ihsan KPDN Perak
A
A
A

MANJUNG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 3,500 liter bahan api disyaki diesel bersubsidi yang cuba diseleweng menggunakan sebuah lori di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar dekat sini pada Khamis.

Dalam serbuan Op Tiris 3.0 sekitar jam 9 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung telah menahan dua lelaki tempatan dipercayai pemandu lori berusia 40-an dan pengusaha stesen minyak berusia 20-an.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, risikan yang dijalankan selama dua minggu mendapati sindiket terbabit telah mengubah suai lori tangki bagi mengisi minyak diesel.

"Sindiket membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori muatan 3 tan yang telah diubah suai dengan sambungan paip terus ke tangki yang disembunyikan di atas lori.

"Pengisian dianggarkan sebanyak antara 500 hingga 1,000 liter sekali pengisian di stesen minyak tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebuah lori yang telah diubah suai disita selepas disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Ayer Tawar, Manjung pada Khamis. Foto ihsan KPDN Perak
Sebuah lori yang telah diubah suai disita selepas disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Ayer Tawar, Manjung pada Khamis. Foto ihsan KPDN Perak

Menurut beliau, minyak berkenaan akan dijual di pasaran gelap sekitar Pantai Remis pada harga RM3 hingga RM4.

"Minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap mengikut harga pasaran minyak diesel industri.

Artikel Berkaitan:

"Semakan awal juga mendapati syarikat kepada kenderaan lori ini tidak mempunyai apa-apa kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk membeli minyak diesel dalam suatu kuantiti yang banyak," katanya.

Kamalludin berkata, minyak diesel bersama peralatan dan kenderaan terbabit bernilai RM83,125 telah disita untuk tindakan selanjutnya.

"Stesen minyak yang disyaki terlibat akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada termasuklah syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan ini.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.