Memahami kos, bayaran dan bantuan kewangan haji

Jika dibuat kajian perbandingan melalui data statistik yang boleh diakses oleh orang awam melalui laman sesawang Tabung Haji, jelas menunjukkan sejak tahun 2009, kadar bayaran haji bagi jemaah muassasah kekal RM9,980 walaupun kos haji telah meningkat sebanyak 82 peratus sehingga tahun 2019.
Jika dibuat kajian perbandingan melalui data statistik yang boleh diakses oleh orang awam melalui laman sesawang Tabung Haji, jelas menunjukkan sejak tahun 2009, kadar bayaran haji bagi jemaah muassasah kekal RM9,980 walaupun kos haji telah meningkat sebanyak 82 peratus sehingga tahun 2019.
A
A
A

BARU-baru ni saya terbaca nukilan daripada seorang penulis di dada akhbar perdana tempatan terkait dengan isu kos haji diumumkan oleh Tabung Haji yang saya sifatkan komen dan perbandingan yang ‘separuh masak’.

Saya berasa terpanggil untuk singgung pandangan peribadi beliau dengan mencoretkan sebutir dua sisi pandang peribadi saya atas semangat meraikan perbezaan pandangan demi memelihara keharmonian persaudaraan seagama.

Tidak keterlaluan sekiranya saya katakan fakta yang dinyatakan oleh beliau mengenai kos yang perlu dikeluarkan oleh seorang jemaah haji muassasah adalah tidak tepat.

Pertamanya, rakyat terutamanya para pendeposit Tabung Haji perlu memahami secara jelas butiran yang diumumkan oleh Tabung Haji iaitu berkenaan kos haji, bayaran haji dan bantuan kewangan haji (subsidi).

Jika dicerakinkan, secara ringkasnya kos haji merujuk kepada jumlah kos keseluruhan untuk mendapatkan rantaian perkhidmatan untuk seseorang bakal haji ke Tanah Suci bagi menyempurnakan ibadah haji.

Kos haji yang diumumkan oleh Tabung Haji bagi tahun ini ialah sejumlah RM33,300.

Manakala, bayaran haji pula merujuk kepada sejumlah wang yang ditetapkan oleh TH untuk seorang jemaah haji menunaikan Rukun Islam kelima.

Para jemaah muassasah hanya perlu menampung kadar bayaran haji yang jauh lebih rendah.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh golongan B40 hanya perlu membayar sebanyak RM12,356 berbanding RM33,300 kos sebenar di mana bantuan kewangan haji atau subsidi haji lebih RM20,000 diberikan kepada seorang jemaah haji.

Jika dibuat kajian perbandingan melalui data statistik yang boleh diakses oleh orang awam melalui laman sesawang Tabung Haji, jelas menunjukkan sejak tahun 2009, kadar bayaran haji bagi jemaah muassasah kekal RM9,980 walaupun kos haji telah meningkat sebanyak 82 peratus sehingga tahun 2019.

Kos-kos ini kian meningkat saban tahun terutama di Tanah Suci dan umum mengetahui peningkatan kos ini adalah di luar kawalan Tabung Haji disebabkan oleh faktor-faktor caj perkhidmatan di Arab Saudi yang meningkat seperti cukai nilai tambah, kadar inflasi dan lain-lain lagi.

Dengan mengambil kira kenaikan kos haji yang amat mendadak, pujian seharusnya diberikan kepada Tabung Haji kerana tetap prihatin dengan nasib bakal-bakal jemaah haji yang menerima impak besar dengan kesempitan ekonomi semasa terutamanya golongan B40 dan M40 melalui bantuan kewangan haji yang diteruskan secara bersasar.

Bantuan Kewangan Haji yang terlalu tinggi (RM350-RM400 juta) setahun boleh menyebab kelestarian Tabung Haji tergugat di mana pendeposit turut mengharapkan pulangan dividen yang tinggi setiap tahun.

Kita perlu berbalik kepada matlamat teras penubuhan Tabung Haji untuk menguruskan jemaah negara dan juga membolehkan mereka menabung untuk menunaikan ibadat haji.

Intelektual umat Islam perlu disuluh terang bahawa matlamat teras ini yang masih dipegang Tabung Haji memungkinkan mereka masih lagi dapat mengagihkan pulangan yang kompetitif kepada para pendeposit setiap tahun.

Sifir permainan pelaburan cukup mudah difahami.

Semakin tinggi pulangan pelaburan, maka semakin tinggi risiko yang bakal dihadapi dan pastinya itu akan memberi kesan besar kepada wang tabungan para pendeposit.

Jika perkara itu berlaku, bukan sahaja wang pendeposit terkesan, malah Tabung Haji sebagai satu-satunya institusi kewangan tabungan haji negara juga akan menerima padahnya.

Tidak terbayang sekiranya tiada lagi institusi pengurusan haji seperti Tabung Haji di negara ini.

Di mana lagi umat Islam Malaysia boleh sandarkan keringat mereka yang menyimpan dengan harapan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dengan pengurusan holistik seperti ditawarkan oleh Tabung Haji.

Tabung Haji telah berjaya menguruskan jutaan jemaah haji negara sepanjang lebih 60 tahun penubuhannya dan sudah pasti telah membuat kajian dan analisa terperinci dalam mengekalkan hala tujunya demi kemaslahatan umat Islam Malaysia.

Sebagai rakyat dan pendeposit yang setia, seharusnya usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Tabung Haji wajar didukung bagi mengukuhkan lagi organisasi ini, kalaupun bukan untuk kita nikmati manisnya laba, generasi anak cucu kita akan merasainya.

*Ahmad Junaidi Ahmad Husni, Alumni Jemaah Haji tahun 2022